Buletin

DOKUMENTARI TENTANG MICHEAL SCHUMACHER BAKAL DITAYANGKAN PADA DISEMBER 2019

Sebuah dokumentari rasmi mengenai lagenda Formula 1, Micheal Schumacher yang mendapat sokongan penuh daripada keluarganya dilapor bakal ditayangkan pada hujung tahun ini. 

Bertajuk ‘Schumacher’, filem tersebut menerima sentuhan sebuah syarikat produksi berpengaruh. Ia menampilkan temuramah bersama bapa Schumacher, Rolf; isterinya, Corinna serta dua orang anaknya iaitu Gina dan Mick. 

Tidak ketinggalan ramai penyumbang utama dalam kerjaya beliau, di samping banyak klip video yang tidak pernah ditonton sebelum ini. 

Masih berada dalam proses pasca-produksi, dokumentari itu dihasilkan oleh pembikin filem terkenal Jerman, Michael Wech dan Hanns-Bruno Kammertons. Mereka berdua sebelum ini pernah bekerjasama untuk menghasilkan dokumentari tentang bintang tenis Boris Becker dan pemuzik Udo Jurgens. 

Filem tersebut diterbitkan oleh Benjamin Seikel dan Vanessa Nocker daripada B | 14 FILM dan DCM yang bertanggungjawab menayangkannya di Jerman.

Sementara syarikat produksi yang berpangkalan di London, Rocket Science pula bertindak selaku penerbit eksekutif dan mengendalikan jualan di peringkat antarabangsa serta memasarkannya di festival filem Cannes. 

Rocket menyatakan bahawa dokumentari itu akan meneroka pelbagai sudut lelaki yang kompleks ini. Seorang pelumba F1 yang sangat berjaya, budak kecil yang bercita-cita tinggi, seorang mekanik yang merendah diri serta seorang bapa dan kawan yang baik.

“Ini merupakan tahun yang penting untuk Micheal Schumacher. Bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada Januari dan ulangtahun ke-25 kejayaan mencatat kemenangan kejohanan dunia buat kali pertama pada November, kami sangat berbesar hati kerana mendapat kerjasama daripada ahli keluarga serta pihak pengurusan Micheal.

“Tanpa sokongan mereka, mustahil filem ini boleh jadi satu kenyataan,” kata Seikel.

Tags
Google ads
Back to top button