
TRAK PIKAP HONDA RIDGELINE
Saya masih ingat dalam satu sesi sidang media bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Motor Co., Takanobu Ito sewaktu Tokyo Motor Show 2013 baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk membangunkan trak pikap terutama bagi pasaran Asia.
Sebaliknya, Honda mahu fokus kepada model kenderaan penumpang dan motosikal untuk para pelanggannya di rantau tersebut.
Namun, berbeza di pasaran Amerika Syarikat (AS). Honda sebenarnya ada menghasilkan trak pikap kompak dikenali sebagai Ridgeline yang menjadi pesaing kepada model-model seperti Toyota Tacoma dan Nissan Frontier.
Hari ini, Honda mendedahkan lukisan Ridgeline generasi akan datang yang menunjukkan hala tuju rekaan trak pikap tersebut. Dengan kehadiran model baharu ini, Ridgeline sedia ada yang dibina secara eksklusif di kilang Honda di Alabama bakal ditamatkan produksinya menjelang pertengahan tahun 2014.
Sama seperti model generasi pertama yang menerima anugerah Truck of the Year Amerika Utara 2006, jentera itu juga direka serta dibangunkan oleh pihak Honda R&D Americas Inc. yang berpangkalan di Los Angeles dan Ohio.
Ridgeline menerjah ke pasaran AS dengan rekaan unik, ruang kabin luas untuk lima orang penumpang, pemanduan lancar dan kemampuan sebuah trak pikap setengah tan.
[hr]Galeri


















