Buletin

HONDA RIDGELINE 2021 – LEBIH RUGGED DAN MACHO!

Honda Ridgeline berada di dalam kelas tersendiri dengan menggunakan platform unibody berbanding body on frame seperti kebanyakan pikap lain. Dari segi reka bentuk, Ridgeline tampil bersahaja dan mempunyai pelbagai ciri praktikal yang sinonim dengan kenderaan Honda.

Ridgeline di pasaran sekarang adalah dari generasi kedua dan mula dikeluarkan pada tahun 2016.

Beberapa tahun di pasaran kini tiba masa untuk versi yang dipertingkatkan dan Honda mengumumkan Ridgeline 2021 akan dilancarkan pada awal tahun depan.

Apa yang baharu pada Ridgeline 2021? Secara asasnya masih sama kecuali reka bentuk luaran dengan membawa karakter lebih rugged dan lasak.

Honda memaklumkan kesemua panel dari tiang A hingga ke depan baharu belaka. Lampu menggunakan nyalaan LED manakala bampar dan gril langsung berbeza dengan reka bentuk lebih lasak dan menyerlah. 

Liang pada sisi bampar mempunyai fungsi bagi mengalirkan udara ke bahagian tayar dan roda depan dan membentuk tirai udara (air curtain) bagi memperbaiki tahap aerodinamik.

Bonet enjin lebih bersegi dan bahagian depan Ridgeline 2021 nampak lebih menonjol dan macho.

Dari tepi, karakter lasak diserlahkan melalui fender flare yang besar berbanding sebelum ini. 

Kesemua varian Ridgeline 2021 menggunakan roda 18 inci rekaan lebih lasak dengan backspacing dikurangkan kepada 10 mm. Lebar trek pula dinaikkan kepada 20 mm dan menampakkan Ridgeline 2021 lebih smart atau dalam kedudukan lebih segak.

Pada bahagian belakang, Ridgeline menonjol dengan dua ekzos yang keluar di bawah bampar kanan dan kiri.

Untuk pengguna yang mahukan sesuatu berbeza, Pakej HPD (Honda Performance Development) menawarkan kit berbeza seperti gril, fender flare hitam, roda warna gangsa dan grafik khas pada bahagian dinding kargo.

Jika di luar tampak lasak, berbeza pula pada bahagian dalam yang tipikal untuk sebuah kenderaan Honda dan mengingatkan kepada MPV Odyssey.

Tidak banyak disentuh untuk Ridgeline 2021 di antaranya ialah sistem Paparan Audio dengan grafik baharu, ikon skrin sentuh lebih mesra pengguna dan tombol kawalan bunyi.

Tempat duduk mempunyai sulaman baharu manakala lantai rata dan kerusi belakang boleh lipat 60:40 meneruskan praktikaliti pikap ini.

Menggerakkan Ridgeline 2021 ialah enjin 3.5 liter VTEC® V6 berkuasa 280 hp dan tork 355 Nm dan dipadan bersama transmisi sembilan kelajuan automatik. 

Varian Ridgeline RTL-E dan Black Edition menggunakan sistem pacuan i-VTM4® pacuan semua roda dengan torque-vectoring dan menggagihkan 70 peratus daya kilas ke roda belakang secara automatik. 

Sistem itu juga secara berterusan membahagikan 100 peratus tork di antara roda belakang kanan dan kiri berdasarkan keadaan pemanduan pada setiap roda.

Sistem Cengkaman Dinamik Pintar pada kesemua varian Ridgeline berfungsi dengan mengoptimumkan penghantaran kuasa dan pembahagian di dalam pelbagai keadaan seperti salji dan jalan untuk model 2WD.

Ridgeline dengan i-VTM4® pula mempunyai tambahan pilihan mod untuk permukaan berselut dan berpasir.

Dari segi keselamatan, kesemua varian Ridgeline 2021 dilengkapi teknologi Honda Sensing® yang merangkumi Collision Mitigation Braking System™ (CMBS™) with Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM) with Lane Departure Warning (LDW) dan Adaptive Cruise Control (ACC). 

Ridgeline adalah sebuah pikap dengan pakej menarik namun ia bukan model global Honda yang bermakna tidak dijual di negara ASEAN walaupun pikap seperti ini mempunyai permintaan baik.

Honda Ridgeline 2021 direka dan dibangunkan oleh Honda R&D Amerika di California dan Ohio manakala pengeluaran dibuat di Lincoln, Alabama.

BACA: HONDA ACCORD 2021, SAMA TETAPI TIDAK SERUPA

BACA: HONDA FIT B-SPEC CONCEPT DARI HPD UNTUK LITAR LUMBA

BACA: APA YANG BARU PADA HONDA CBR600RR 2020?

Google ads
Back to top button