Buletin

PADA 2005 HONDA RIDGELINE DIPERKENAL – ENJIN VTEC 3.5L!

Honda sentiasa mempunyai idea tersendiri dalam menghasilkan sesuatu. Sebagai contoh, Honda memperkenalkan pikap Ridgeline pada 2005 yang menggunakan struktur unibody berbanding ladder frame sepenuhnya.

Struktur unibody biasa digunakan pada kereta sedan dan SUV berbanding ladder frame pada pikap dan sesetengah SUV besar.

Ridgeline pertama kali diperkenalkan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Amerika Utara 2005. Pikap itu membawa dua idea iaitu gaya hidup dan kegunaan lasak.

Dengan struktur unibody, Ridgeline tetap kukuh dengan keupayaan tunda sehingga 2.2 tan. Ruang kargo belakang pula boleh menampung beban sehingga setengah tan.

Walaupun menggunakan struktur seperti kereta penumpang, para jurutera Honda memperkukuhkannya dengan tetulang ala ladder frame.

Di dalam siaran media rasmi, Honda memanggilnya sebagai binaan dengan struktur baharu untuk pikap. Ridgeline menggunakan struktur ladder frame yang digabungkan sepenuhnya dengan bahagian atas kenderaan. 

Kelebihan struktur yang dibuat ini ialah olengan (bending) badan lebih 2.5 kali tegar berbanding pikap kompak pesaing dengan badan di atas rangka (ladder frame) manakala ketegaran torsi belakang pula 20 kali lebih tegar.

Honda juga memaklumkan 93 peratus komponen rangka Ridgeline tidak dikongsi dengan mana-mana model Honda lain.

Selain struktur unibody, ada lagi keunikan Ridgeline seperti sistem pacuan kesemua roda automatik dengan suspensi bebas pada keempat-empat sudut. Kombinasi itu adalah yang pertama di dalam segmennya.

Untuk nadi kuasa, Honda menggunakan enjin 3.5 liter VTEC V6 dengan output 255 hp dan tork 342 Nm.

Unik di dalam segmen, enjin Ridgeline dipadan bersama transmisi standard lima kelajuan automatik dengan sistem pacuan empat roda automatik sepenuhnya.

Sistem Variable Torque Management 4-Wheel Drive System (VTM-4WD) Ridgeline direka untuk pengendalian terbaik dalam semua jenis cuaca termasuk keupayaan cengkaman dan off-road.

Sistem itu boleh menghantar sehingga 70 peratus daya tujahan yang ada kepada roda belakang.

Dari segi teknologi keselamatan pula, di antara kelengkapan standard Ridgeline ialah Brek Anti Kekunci (ABS) empat roda dengan Pembahagian Brek Elektronik (EBD), beg udara tirai (curtain) dengan sensor rollover dan Bantuan Penstabilan Kenderaan (VSA) dengan Kawalan Cengkaman.

Ridgeline sememangnya dibuat untuk pasaran Amerika dan ia adalah hasil kerja Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Honda di Ohio dan Los Angeles. 

Ridgeline adalah tawaran unik dari Honda dengan ciri-ciri kereta penumpang moden dan keupayaan sebuah pikap.

Ridgeline juga lama di pasaran, dari penghujung 2004 sehingga awal 2015 dan walaupun dibangunkan untuk pasaran Amerika Syarikat, Ridgeline dieksport ke banyak buah negara.

Setelah lama di pasaran dengan hampir tiga ratus ribu unit pengeluaran, Honda Ridgeline generasi kedua dilancarkan pada 2016.

Untuk model ini, Honda mengambil pendekatan berbeza dengan menggunakan platform trak ringan global (global light truck platform) yang dikongsi dengan model lain seperti Pilot generasi ketiga.

Meskipun berkongsi platform, Honda banyak melakukan pengubahsuaian untuk disesuaikan dengan kegunaannya sebagai sebuah pikap.  

BACA: PADA 2012 HONDA ACCORD COUPE DIPERKENAL DI AS – BERKENAN KE?

BACA: GM DAN HONDA JV BUAT EV HONDA, BUKAN 1 TAPI 2!

BACA: PADA 2000 HONDA ACCORD WAGON SiR 4WD DIPERKENAL DI JEPUN

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button