Artikel Pilihan

TRANSMISI CVT BOSCH UNTUK EV, TAMBAH KECEKAPAN DAN PRESTASI

Dalam banyak-banyak EV yang dijual di dunia sekarang ini, hanya Porsche menawarkan transmisi 2 gear pada EV mereka. Semua pengeluar EV lain menggunakan gear tunggal atas alasan EV tidak memerlukan gear. EV akan menghantar kuasa terus pada gear tunggal dari motor.

Ini bermakna EV tidak akan menggandakan tork yang dihasilkan pada tayar dan hanya bergantung pada tork yang dihasilkan oleh motor elektrik sahaja. Bagi kereta berkuasa petrol atau diesel, tork akan digandakan melalui gear sebelum dihantar pada tayar

Buat masa sekarang Porsche Taycan yang berkongsi teknologi dengan Audi e-Tron GT menggunakan sistem transmisi 2 gear pada motor di bahagian belakang. Pakar pembangunan trenkuasa di Bosch pula berpendapat CVT adalah trenkuasa yang paling sesuai untuk dipadankan dengan trenkuasa EV.

Ini kerana CVT sentiasa mengubah ratio bagi memastikan EV akan beroperasi pada julat yang lebih efisyen, menggunakan semua kuasa dan tork yang dihasilkan oleh motor bergantung pada keadaan pemanduan. Bagi mengkaji kemungkinan untuk menggunakan CVT pada EV, Bosch membangunkan satu sistem baru dinamakan CVT4EV

Antara kelebihan sistem yang dibangunkan oleh Bosch ini ialah memanjangkan jarak perjalanan EV dan prestasi pecutan serta halaju yang lebih baik. CVT yang dibangunkan oleh Bosch ini merupakan transmisi CVT push belt yang telah diubahsuai membolehkan tork yang dihasilkan oleh motor digandakan, mengurangkan beban tugas pada motor elektrik

Menurut Gert-Jan van Spijk yang mengetuai program CVT di Bosch Transmission Technology, dengan bantuan CVT4EV ini, motor elektrik tidak perlu menjadi terlalu berkuasa seperti yang dibuat oleh pengeluar EV pada hari ini, malah motor dan bateri sistem boleh dikecilkan. Malah dia yakin sistem ini berupaya untuk kegunaan offroad.

Buat masa ini, sistem ini menyumbangkan sehingga 4% kecekapan dari segi jarak perjalanan pada EV yang diuji iaitu Volkswagen e-Golf. Buat masa ini Bosch tidak menyatakan bilakah sistem CVT4EV ini akan digunakan secara meluas pada kenderaan EV.

Google ads
Back to top button