
TRD PERKENAL ALAT GANTI GT86 2017 DI JEPUN
Masa depan model Toyota 86 nampaknya terjamin apabila perbincangan Toyota dan Subaru untuk membangunkan 86 generasi seterusnya sudahpun bermula.
Justeru, pihak TRD dilaporkan telah menghasilkan alat ganti untuk model 86. Ia dibina untuk disesuaikan dengan ciri-ciri yang bakal ada pada model 86 2017.
Pakej talaan itu sudah boleh dibeli oleh pelanggan di Jepun menerusi pengedar rasmi Toyota.
Antara yang ditawarkan ialah chin air splitter pada bahagian hadapan berwarna hitam. Pelanggan boleh membelinya bersama lampu bersepadu LED atau sebaliknya.
Di bawah lampu kabus, insert dengan warna badan kenderaan ada ditawarkan. Rocker pannel berwarna hitam dan jalur pada bahagian sisi jentera ini pula menjadikanya kelihatan semakin garang.
Untuk bahagian belakang, TRD menawarkan spoiler, diffuser dan ekzos quad yang membuatkan 86 nampak seperti Ferrari F12berlinetta palsu. Paling menyerlah pastinya GT Wing yang diperbuat daripada kit gentian karbon.
Prestasi 86 ditingkatkan menerusi suspensi boleh laras untuk kegunaan di trek. Sementara pendakap boleh dipasang pada bahagian bawah badan kereta dan hud.
Jika pelanggan mahu serius berada di atas trek, mereka boleh menimbang untuk menambah meter suhu digital dan tekanan tayar. TRD turut menawarkan rim aloi aluminium tempa bersaiz 18 inci daripada koleksinya.
Dua rim alternatif bersaiz 17 inci daripada SARD dan TOM’S juga ada disediakan.