Buletin

TREK PERLUMBAAN DRAG TERINDAH ADA DI ALASKA!

Dalam permainan video sekalipun, anda pasti teruja sekiranya berlumba di litar yang berlatarbelakangkan pemandangan indah. Inikan pula jika anda berpeluang untuk berlumba dengan pemandangan seperti itu dalam dunia nyata.

Salah satu litar perlumbaan yang menjadi tumpuan ialah Alaska Raceway Park, Butte, terletak kira-kira 62 batu dari bandar Anchorage, Alaska. Litar itu adalah untuk perlumbaan drag dan kebetulan menjadi salah satu trek drag yang paling indah.

Keindahannya mudah dilihat, dengan dragstrip terletak di antara pokok, selain pemandangan gunung dilitupi salji yang dikenali sebagai Pioneer Peak untuk mencipta estetika berkualiti poskad.

Trek tersebut mula dibuka pada tahun 1964 oleh Gabenor Bill Egan. Beroperasi di atas tanah yang dipajak dari megeri Alaska, ia hadir dengan pelbagai nama sebelum ini seperti Polar Dragway dan Thunder Valley Raceway. Selepas dijual pada tahun 1994 kepada sekumpulan ahli perniagaan, kini trek tersebut dikenali sebagai Alaska Raceway Park.

Saluran YouTube 1320Video melawat trek tersebut baru-baru ini. Video berdurasi satu jam itu mempamerkan keindahan alam semula jadi di negeri tersebut, serta pelbagai jenis jentera yang muncul untuk bersaing di trek.

Tidak seperti kebanyakan kemudahan sukan permotoran serantau yang lain, Alaska Raceway Park menyaksikan peningkatan pelaburan yang berterusan. Ia melibatkan beberapa pembaharuan seperti kemudahan tepi trek, menurap semula dragstrip, selain pemasangan sistem pemasaan berkomputer moden.

Pada tahun 2002, pemilik trek membeli tanah dari negeri Alaska, seterusnya menamatkan pajakan dan memastikan trek tersebut terus kekal.

Pada tahun 2003, ia memperoleh anugerah IHRA’s Track of the Year untuk “positive growth and success on the track.” Pada 2019, trek itu beroperasi di Divisyen 6 di bawah Persatuan Hot Rod Kebangsaan.

Banyak trek dilihat sukar untuk diteruskan hari ini kerana terdapat aduan mengenai bunyi bising, serta pemaju mahu mendapatkan tanah untuk dijadikan kawasan perumahan. Walau bagaimanapun, Alaska Raceway Park sentiasa menganjurkan acara yang hebat dengan latar pemandangan yang indah.

Google ads
Back to top button