BILA BENZ PATENT MOTORWAGEN 1886 LAYAN LITAR NURBURGRING….
Berdasarkan prestasi jentera-jentera moden, boleh dikatakan Litar Neraka Hijau Nurburgring merupakan antara lokasi kegemaran Mercedes-Benz dalam siri cubaan untuk memalukan pihak lawannya.
Namun, bagaimana pula prestasi jentera pertama yang dihasilkan oleh pengeluar Jerman itu – Benz Patent Motorwagen 1886?
Mengikut spesifikasi asal, Motorwagen ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal empat lejang bersesaran 954 cc (ya, bawah 1 liter!) dengan kuasa kuda sekitar 500 watt sahaja (atau 0.67 hp).
Dengan binaan tiga roda, jelas sekali ia bukanlah dibina untuk prestasi, apatah lagi ia merupakan automobil pertama yang dibina di dunia pada tahun 1886.
Prestasi sebenar Motorwagen ini diuji oleh komuniti gamers menerusi pengguna SATLAB yang berjaya menghasilkan simulasi kereta tiga roda ini di platform permainan Assetto Corsa.
Menurut SATLAB, pada mulanya Motorwagen tidak dapat diuji oleh AI disebabkan ia terlalu perlahan, dan pihak pembangun ‘terpaksa meningkatkan’ kuasa kuda kepada 1 hp bagi ‘menggerakkan’ kereta ini di dalam permainan.
Untuk litar Nurburgring sepanjang hampir 21 km, Motorwagen ini berjaya juga menghabiskan pusingan dalam masa lebih 80 minit, dan berkeupayaan untuk mencapai kelajuan tertinggi 70 km/j dengan menggunakan satu rahsia – masuk gear neutral ketika menuruni bukit.
Namun, ketika menaiki cerun, kuasa 1hp itu tidak mampu untuk menarik kereta ini sehinggakan ia berhenti sepenuhnya.
Disebabkan itu, pelumba simulasi Jimmy Broadbent terpaksa melakukan pemanduan secara zig-zag ketika mendaki bukit bagi memastikan kereta ini terus bergerak untuk menghabiskan pusingan.
Sebagai perbandingan, jentera terpantas Mercedes-Benz pada ketika ini berupaya mengelilingi litar Nurburgring dalam masa enam minit dan 43 saat menerusi jentera Mercedes-AMG GT Black Series.