Artikel Pilihan

PEMANDU UJIAN PORSCHE INI TUNJUKKAN CARA TETAPKAN KUSYEN YANG BETUL UNTUK PEMANDUAN LITAR

Jika anda mahu memandu laju dan mencatatkan masa terpantas di litar, salah satu aspek yang perlu dititikberatkan ialah posisi kedudukan anda semasa memandu. Kerapkali penulis melihat rakan-rakan di media sosial bergambar dan memandu kereta berkuasa tinggi dengan posisi keudukan yang nampak tidak selesa

Pemandu ujian untuk Porsche Patrick Long berkongsi bagaimana anda patut mengubah kedudukan kusyen pemandu dalam keadaan yang paling ideal untuk memandu dengan laju dan selamat. Walaupun video ini telah lama, tapi kami rasa video ini sangat bermanfaat untuk dikongsikan.

Khas untuk pemanduan litar, Patrick mencadangkan anda duduk serapat mungkin dengan lantai kereta dengan merendahkan kusyen anda. Tapi pada masa yang sama pastikan pergelangan tangan anda sampai kepada roda stering.

Patrick juga memberikan tip lain termasuklah memastikan lutut tidak terlalu lurus dan bengkok sedikit walaupun pedal minyak atau pedal klac ditekan rapat ke lantai. Stering pula perlu ditinggikan sedikit supaya ia boleh dipulas habis dalam full lock position, tidak terlanggar dengan lutut sementara bahu bersandar rapat ke kusyen.

Tangan pula mesti menggenggam pada kedudukan nombor 3 dan 9 (kiri dan kanan) serta berkongsi usaha sewaktu mengambil selekoh. Kalau anda mengambil selekoh kiri, tangan kiri menarik roda stering dan tangan kanan menolak roda stering dalam masa yang sama.

Sesetengah kereta sport akan datang dengan penanda yang berada di bahagian tengah stering. Ia berfungsi menandakan arah pergerakan anda sewaktu stering sedang dipulas, membantu anda membuat perubahan kecil pada stering sewaktu mengambil selekoh dengan laju

Google ads
Back to top button