
TTJ SELAR PIHAK CUBA JADI ‘PENYELAMAT’ LITAR PASIR GUDANG
Umum sedia maklum baru-baru ini tular laporan yang menyatakan bahawa Petronas bakal membantu dalam membangunkan semula Litar Pasir Gudang.

Laporan itu turut diperkuat dengan kenyataan prinsipal pasukan JDT Racing Team, Steven Tan yang menyatakan bahawa Petronas bukan sahaja akan menaja jentera perlumbaan malah merangkumi tajaan berskala besar termasuk membantu membangunkan Litar Pasir Gudang.
Bagaimanapun, gempar perkongsian terbaru Tunku Temenggong Johor, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj di laman sosial Instagram yang menafikan laporan berkenaan.

“Terdapat banyak khabar angin dan berita melibatkan Litar Pasir Gudang (Litar Johor) baru-baru ini jadi saya terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara.
“Saya telah mengusahakan projek ini secara senyap dalam tempoh lapan tahun ini dan tiba-tiba saya nampak ada pihak yang cuba jadi ‘penyelamat’ litar ini.
“Tolong buat kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan. Mana kamu semua bila litar ini terbiar hampir sedekad lalu? Mana kamu semua bila litar ini hampir terima nasib sama seperti (litar) Batu Tiga?
“Litar ini adalah untuk Johor Racing (JMR), JDT Racing dan paling utama untuk rakyat. Jadi tolong, biar saya kendalikan (litar ini) dengan tenang dibawah bimbingan ayah dan abang saya serta kerajaan ini,” ujarnya dalam kenyataan berkenaan.

Untuk rekod, Litar Pasir Gudang sepanjang 3.86 kilometer itu telah ditutup sejak 2016 bagi tujuan pengubahsuaian. Pada tahun 1998, litar berkenaan telah menjadi tuan rumah penganjuran Kejuaraan Dunia MotoGP yang menyaksikan pelumba legenda Mick Doohan menjuarai kategori 500cc.

