Buletin

FOTO SLOTH RAIH PERHATIAN KETIKA MISI PELANCARAN ROKET

Foto dari seekor sloth ketika pelancaran roket misi Jupiter Icy Moons Explorer (JUICE) di French Guiana, telah mencuri perhatian netizen, baru-baru ini.

Menerusi siaran langsung, mamalia itu dilihat duduk separas mata dengan kamera dan berlatarbelakangkan sebuah roket yang bersiap sedia dilancarkan.

“Selain daripada pelancaran, ia pastinya bintang siaran (Agensi Angkasa Eropah …),” tulis editor Quanta Magazine di Facebook Agensi Angkasa Eropah.

Di halaman Facebook Agensi Angkasa Eropah, ramai netizen memberikan pelbagai reaksi bahkan ada juga meninggalkan komen menamakan mamalia itu sebagai Gerard atau Jerry.

“Saya ada soalan, bagaimana dia sampai ke sana?” komen seorang pengguna Facebook.

Komen lain, “Dia hanya mahu pergi berkeliaran di angkasa,”

Malah agensi angkasa itu sendiri mengakui bahawa sloth itu mencuri perhatian.

“Walaupun kami memberi fokus kepada (pelancaran) roket tetapi kami setuju ia sangat menarik perhatian,” tulis agensi itu.

Untuk rekod, misi itu dijalankan bertujuan menerokai persekitaran Musytari dan di bawah permukaan bulan berais.

Menurut NASA, Musytari mempunyai antara 80 hingga 95 bulan, salah satunya, Europa dianggap sebagai salah satu ‘tempat terbaik untuk mencari kehidupan di luar Bumi dalam sistem suria kita’ kerana ia mempunyai lautan masin. – The Star

Google ads
Back to top button