
PEKERJA TESLA DI SHANGHAI KECEWA BONUS PRESTASI KERJA DIPOTONG
Pekerja Tesla di Shanghai meluahkan ketidakpuasan hati terhadap Elon Musk melalui media sosial selepas dimaklumkan tentang pemotongan bonus prestasi kerja.
“Sila beri perhatian! Bonus prestasi pekerja barisan Tesla di Shanghai dipotong sewenang-wenangnya,” kata satu ciapan di Twitter.
Dua pekerja memberitahu Reuters bahawa mereka dimaklumkan oleh penyelia pada hujung minggu lalu tentang pemotongan pembayaran bonus suku tahunan.

Mengenai sebab pemotongan bonus, penyelia Tesla hanya menyebut ‘insiden keselamatan’ sebagai alasan.
Beberapa laporan mendakwa pekerja di kilang Shanghai telah dihukum secara tidak adil atas insiden yang berlaku pada tahun ini di mana seorang pekerja meninggal dunia di kilang berkenaan.
Sebelum ini, empat orang pekerja Tesla melaporkan berita kemalangan itu kepada Reuters namun sehingga kini, Tesla dan Elon Musk masih belum memberi sebarang komen mengenai isu tersebut.







