SIAPA PUNYA KERJA? PACAK VAN ATAS HENTIAN BAS
Penduduk pekan Plounéventer, Perancis gempar apabila melihat sebuah van berwarna putih terpacak di atas bumbung perhentian bas.
Dalam kejadian Isnin lalu, penduduk yang menggunakan perhentian bas Place de l’Eglise pada awal pagi terkejut melihat van terbabit berada di atas bumbung tanpa diketahui puncanya.
Beberapa keping imej van itu dikongsi di media sosial sehingga menjadi viral dalam kalangan netizen.
Bahkan, pelbagai spekulasi dikongsi untuk merungkai jawapan berkenaan.
“Ia adalah suatu kejadian misteri. Kami tahu siapa pemilik kenderaan itu, namun tidak tahu bagaimana dan mengapa ia berada di situ,” kata Christophe Laval kepada media tempatan.
Selama hampir seminggu, misteri van di atas bumbung itu terus menjadi teka-teki.
Bagaimanapun, media Perancis memaklumkan bahawa kes itu telah diselesaikan.
Menurut media tempatan, kejadian itu tiada kaitan dengan pengaruh alkohol seperti yang menjadi spekulasi ramai.
Bagaimanapun, ia disebabkan oleh ‘persengketaan perniagaan’ antara pemilik van dengan suspek.
Akibat berang, suspek dikatakan dengan sengaja meletakkan van tersebut di atas bumbung perhentian bas itu menggunakan sebuah trak palet.
Kedua-dua suspek dan pemilik van itu telah dipanggil untuk disoal siasat dan berkemungkinan berdepan dengan dakwaan membahayakan orang ramai. – Oddity Central