Artikel Pilihan

VIDEO ANIME ALA INITIAL D – CARA SUBARU UCAPKAN SELAMAT TINGGAL KEPADA WRX STI

Berita tentang tiada versi WRX STI untuk generasi WRX terkini memang sangat menyedihkan tetapi ia memang sudah dijangka dengan peraturan emisi ekzos yang semakin ketat. Satu demi satu jentera lagenda meninggalkan kita.

Tiada siapa tahu adakah ia akan dihasilkan kembali pada masa akan datang ataupun tidak dan video ini mungkin cara Subaru mengucapkan selamat tinggal kepada model sedan berprestasi tinggi mereka yang menjadi pujaan ramai kaki kereta termasuk Bunta Fujiwara. Maka terhasillah sebuah video khas untuk memperingati WRX STI dengan gaya Initial D.

Subaru sebelum ini pernah mengeluarkan klip video pendek memaparkan BRZ generasi terbaru dan WRX generasi VB selain aksesori STI yang boleh dibeli. Subaru menyatakan menerima permintaan untuk alat-alat ganti tersebut jadi mereka memutuskan untuk menghasilkannya. Ini baru betul, memenuhi permintaan peminat. Untung dapat pahala pun dapat.

Mengikut tradisi sebelum ini setahun selepas mana-mana generasi WRX dihasilkan akan muncul versi WRX STI. Tapi baru-baru ini Subaru mengeluarkan kenyataan yang perubahan kehendak pasaran dan peraturan piawaian emisi yang semakin ketat menyebabkan pengeluaran WRX STI terpaksa dihentikan. Namun mereka tetap akan cuba meneroka peluang untuk mengeluarkan WRX STI bagi generasi seterusnya, mungkin dalam versi EV contohnya.

Bulan lepas juga Subaru didapati telah mendaftar paten hak milik nama “STe” di Jerman dan dijangkakan bakal digunakan pada model-model hibrid ataupun EV mereka pada masa akan datang.

Buat masa sekarang nikmati dulu video khas untuk WRX STI ini.

Google ads
Back to top button