Buletin

REVIEW VAN JENAZAH. SATU HARI PUN KITA AKAN NAIK JUGA KAN?

Dalam zaman yang serba moden sekarang, penyampaian maklumat menjadi lebih senang terutama bagi golongan peniaga. Buktinya, begitu ramai sekali yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk berkongsi kelebihan produk atau servis yang mereka tawarkan. 

Terbaharu, satu klip video TikTok tular apabila seorang jurujual Toyota membuat rebiu sebuah van Toyota Hiace yang telah diubah suai menjadi van jenazah berbumbung tinggi. Wanita berbangsa Cina bernama Lisa itu memulakan rebiunya dengan memberitahu ciri-ciri istimewa yang ada pada van berkenaan. 

Menurut Lisa, bahagian belakang van itu dilengkapi dengan sebuah lampu sorot (spotlight) yang boleh dinyala dan ditutup bagi kemudahan menguruskan jenazah pada waktu malam. 

Platform keranda pula direka bersama rel bagi memudahkan urusan memasuk dan mengeluarkan jenazah dari dalam Van. Bahagian bawahnya terdapat satu ruang untuk menyimpan barang, lengkap dengan kuncinya sekali.

Di tepi terdapat tiga buah kerusi dengan kerusi paling hadapan mengadap ke arah penumpang di tempat duduk kedua. Bahagian bawah tempat duduk itu turut dipasang dengan dua alat pemadam api bersaiz kecil. Kiri dan kanan van jenazah itu dilengkapi dengan cermin yang boleh dibuka separuh atau sepenuhnya. 

Bagi menunjukkan ketinggian ruang dalam van itu, Lisa yang berketinggian 162cm kemudian berdiri dengan kepalanya hampir mengenai siling van.  

“Lepas tu dekat sini ada aircond. Wow, best kan? Aik, best? Alamak, best juga lah, satu hari kita pun kena naik juga,” kata Lisa sambil ketawa kecil. Gelagat spontannya itu jelas mengundang ketawa sesiapa sahaja yang menonton video tersebut. 

Ruang pemandu dan belakang dipisahkan dengan satu dinding bersama tingkap kecil yang boleh dibuka dan ditutup untuk memudahkan mereka berkomunikasi. 

Video itu mendapat banyak komen daripada netizen. Rata-ratanya memberitahu ini merupakan kali pertama mereka melihat seseorang membuat rebiu van jenazah. Tidak kurang juga yang memuji kefasihan Lisa bertutur dalam bahasa Malaysia dan membuat penerangan yang ringkas dan mudah difahami. 

Malah, ada yang menyatakan terus insaf selepas menontonnya. 

Google ads
Back to top button