Buletin

LAMBORGHINI URUS VERSI ELEKTRIK BAKAL TIBA, BUKAN DALAM MASA TERDEKAT

Melihat kepada populariti yang dikecapi oleh Lamborghini Urus, sudah pasti ada di antara pelanggan Lamborghini yang tidak sabar untuk menantikan kehadiran Urus versi elektrik sepenuhnya.

Namun, sayang sekali, Urus EV tidak akan muncul dalam masa terdekat, menurut apa yang dilaporkan oleh laman web Drive.

Ketua unit rekaan Lamborghini Mitja Borkert menjelaskan, “Lambat laun, Urus akan menjadi sebuah model elektrik, dan secara jujurnya, undang-undang dalam dunia serta tahap penerimaan sosial – yang pasti trend sedang menuju ke arah itu.

“Saya tidak menyatakan bahawa pengganti Urus merupakan sebuah model EV, namun untuk jenis kereta ini, langkah elektrifikasi adalah lebih masuk akal.

Kata-kata yang diucapkan oleh eksekutif Sant’Agata Bolognese itu seakan mengesahkan bahawa Lamborghini sedang mempertimbangkan untuk menawarkan Urus versi elektrik.

Namun, Urus EV mungkin tidak akan hadir untuk generasi terkini, dan mungkin sekali kita perlu menunggu sehingga akhir dekad ini untuk menantikan kemunculan model elektrik tersebut.

Untuk model-model Lamborghini yang lain, Borkert mengesahkan pihak Lamborghini masih lagi akan terus menawarkan enjin pembakaran dalaman selagi ianya sah dan mampu memenuhi undang-undang dan regulasi emisi semasa. – The Drive

Google ads
Back to top button