
VIDEO DRAG RACE GR COROLLA DAN CIVIC TYPE R – SIAPA LAGI HEBAT?
Siapa tak kenal dengan Toyota GR Corolla yang mempunyai DNA rali dan Honda Civic Type R yang dikatakan sebuah jentera FWD dengan kawalan paling hebat di dunia. Bagaimana dengan prestasi keduanya di jalan lurus? Jalan lurus la penting sebab bukan semua orang pandai drift kan? Jadi mari kita tengok prestasi keduanya dalam perlumbaan drag.

Sebagai rujukan, GR Corolla menggunakan sistem pacuan semua roda dengan enjin 3-selinder 1.6 liter yang mampu menghasilkan 300hp kuasa maksima. Honda Civic Type R ini pula mampu menghasilkan 315hp kuasa daripada enjin 2.0 liter empat selinder yang kemudiannya dihantar ke roda hadapan.
Dengan kuasa yang lebih kurang sama saksikan perlumbaan drag antara keduanya yang dirakam dalam bentuk video oleh Cras.co.za, saluran YouTube permotoran dari Afrika Selatan. Salah seorang pengacara pun saling tak tumpah macam Brian Paan kan? Aye ye yee…

Pada pusingan pertama GR Corolla memperolehi kelebihan kerana mendapat permulaan yang baik dengan bantuan sistem pacuan semua roda. Kuasanya boleh disalurkan ke permukaan jalan dengan lebih baik tetapi ia hampir berjaya di kejar oleh Civic Type R yang mempunyai kelebihan kuasa dan sedikit lebih ringan berbanding GR Corolla. Apa pun GR Corolla menag pusingan pertama.
Keputusan sedikit berbeza dicapai pada pusingan kedua bila Civic Type R membuat pecutan awal yang baik. Ia menggunakan kelebihan kuasa dengan sebaiknya dan berhasil meninggalkan GR Corolla ke garisan penamat.
Pusingan ketiga bermula hampir sama seperti pusingan sebelumnya tapi Civic Type R gagal mengekalkan kemenangan kerana masalah tukaran gear dan kemenangan dirampas kembali oleh GR Corolla yang membuktikan kuasa bukan segalanya dalam perlumbaan drag. Skil dan reaksi pemandu turut menjadi faktor kritikal. Power jugak Brian Paan versi Afrika ni walaupun banyak cakap.
Untuk memberi keadilan kepada Civic Type R, pusingan bonus diadakan dan kali ini kedua kereta mula berlumba pada kelajuan 30kmj. Macam sebelumnya juga, GR Corolla berjaya mendahului sebelum dipintas oleh Civic Type R yang mempunyai kelebihan kuasa dan berat yang lebih ringan.
Apa pun kedua jentera ni memang sama hebat dan sama padan. Kedua-duanya juga menggunakan transmisi manual yang memang sesuai dengan jiwa ricer kami.
Kredit Cars.co.za