Buletin

TOYOTA GR COROLLA CIRCUIT EDITION 2024 KEMBALI DITAWARKAN DI AS, CIRI BERBEZA

Asalnya Toyota GR Corolla Circuit Edition mahu ditawarkan untuk model tahun (MY) 2023 sahaja di Amerika Syarikat namun berubah dengan penawaran model tahun 2024.

GR Corolla Circuit Edition diletakkan di atas GR Corolla Core dan dibuat sebanyak 1,500 unit bagi model tahun 2023. Sebuah lagi model iaitu Morizo Edition lebih terhad dengan jumlah 200 unit sahaja.

Maknanya, pembeli Amerika Syarikat mempunyai satu lagi peluang untuk mendapatkan GR Corolla yang hadir dengan beberapa kelengkapan istimewa.

GR Corolla Circuit Edition 2024 ditawarkan dalam warna baharu Blue Flame selain putih Ice Cap. Rim juga berbeza daripada MY2023 dan menggunakan set BBS 18 inci seperti Morizo Edition.

Rim aluminium tempa itu dibalut tayar Michelin® Pilot Sport® 4 tires 235/40R18. Satu ciri khas untuk Blue Flame ialah grafik berkotak warna hitam pada alang sisi (rocker).

Pada bahagian dalam, kerusi sport dibalut Brin Naub® Suede dan kulit sintetik dengan riasan biru. Tombol dan balutan batang gear GR juga mempunyai kemasan biru.

Untuk halwa telinga yang baik, sistem JBL® Premium Audio dengan lapan pembesar suara dan penguat (amplifier) dilengkapi sebagai ciri standard.

Komponen Circuit Edition terdahulu dikekalkan seperti lampu depan LED, tukup enjin kembang dan berliang dan gril hitam dengan liang udara untuk brek. 

Kit aerodinamik juga sama seperti spoiler belakang tinggi (dan cantik) dan diffuser warna hitam kilat selain ekzos tiga muncung.

Enjin G16E-GTS 1.6 liter turbo tiga silinder kekal menghasilkan 300 kuasa kuda (hp) dan tork 370Nm dan dipadan bersama transmisi manual pintar enam kelajuan (iMT) dengan fungsi padanan rev.

Model ini dilengkapi pembeza gelinciran terhad (LSD) Torsen pada bahagian depan dan belakang untuk meningkatkan lagi prestasi di selekoh dan cengkaman.

Sistem pacuan semua roda GR-FOUR mempunyai mod berbeza mengikut pilihan pemandu dengan pembahagian nisbah depan dan belakang 60:40 untuk pemanduan harian.

Nisbah 30:70 bagi pemanduan berliku atau berselekoh manakala nisbah 50:50 depan dan belakang memberikan cengkaman maksimum di litar.

GR Corolla dibangunkan dari platform Toyota New Global Architecture-C (TNGA-C) namun berbeza daripada Corolla biasa.

Casis GR Corolla mempunyai tambahan 349 poin kimpalan dan juga tambahan lebih 108 inci perekat struktur, satu pendakap tengah dan tiga pendakap bawah lantai berbanding Corolla hatchback standard.

Satu perubahan yang tersorok pada GR Corolla Circuit Edition 2024 ialah bolt bebibir (flange bolt) dengan benang baharu yang mengikat kotak gear stereng kepada sub kerangka suspensi depan. 

Satu lagi ialah bolt bebibir dengan saiz 2 mm lebih lebar yang mengikat suspensi belakang kepada sub kerangka. Bolt tanpa cat pula menghubungkan bateri kepada kerangka untuk sentuhan besi kepada besi. 

Bahagian depan GR Corolla Circuit Edition 2024 nampak sama seperti model lalu namun menggunakan saluran udara dengan bentuk berbeza.

Bahagian bawah kereta dipasang panel lebar untuk menutup ruang dan turut mempunyai sirip penstabil bagi mengarah laluan udara.

GR Corolla Circuit Edition 2024 dilengkapi kepingan aluminium pada bahagian bawah ruang roda (wheel well) depan dan belakang untuk penstabilan kenderaan. 

Dari segi penawaran, model terbaru ini sama seperti sebelumnya dikeluarkan dalam jumlah terhad dan sebanyak 1,600 unit sahaja.

BACA: TOYOTA PRIUS 24H LE MANS CENTENNIAL GR EDITION, SERLAH SISI AGRESIF KERETA HIBRID

BACA: TOYOTA GR86 SPESIFIKASI LUMBA DARI AUSTRALIA, RM271 RIBU

BACA: SEGALANYA TENTANG TOYOTA YARIS CROSS, SUV HYRBID TERMURAH DI INDONESIA

BACA: INI KOS SERVIS TOYOTA VIOS 2023, BERMULA DARI RM 185 SAHAJA

Google ads
Back to top button