
PERLUMBAAN AMBULANS DAN TRAK BOMBA DI THAILAND – GEMPAK WEH
Thailand mempunyai ramai operator ambulan dan kenderaan bantuan kecemasan swasta dan pada hari yang tidak sibuk, mereka menggunakan kenderaan masing-masing untuk menyertai perlumbaan drag. Benar tuan-tuan, perlumbaan drag khas untuk ambulan dan trak bomba.

Jangan ingat kenderaan digunakan dalam keadaan standard macam pakaian ketua belia 4B kawasan anda. Ia diubahsuai sepenuhnya khas untuk perlumbaan drag di sana. Bukan acara main-main ni.
Litar drag sepanjang suku batu di luar kotaraya Bangkok menjadi tumpuan peminat dan kebanyakan ambulan yang menyertai adalah dari jenis Toyota Hiace yang juga dikenali dengan nama Toyota Komuter di sana. Sama seperti negara kita ia menjadi pilihan untuk dijadikan ambulan kerana memiliki ruangan yang besar. Model ambulan ni biasanya lebih besar berbanding Hiace yang digunakan untuk menghantar barangan.

Salah seorang peserta menggunakan ambulan yang mempunyai sistem audio lengkap dengan sejumlah subwoofer. Tak tahu la macam mana perasaan pesakit sewaktu menaiki ambulan ni tapi ia memang sebuah ambulan yang sebenar. Syarat penyertaan acara ialah semua kenderaan mesti berdaftar sebagai ambulan.
Tak cukup dengan ambulan ada juga trak pikap yang turut digunakan sebagai kenderaan kecemasan. Antara yang biasa dilihat ialah Mitsubishi Strada, Isuzu D-Max dan Toyota Hilux.
Satu perkara menarik dengan warga Thai ialah mereka tak main-main dengan acara macam ni. Kebanyakan jentera drag ini menggunakan panel badan serat karbon ori dan tayar khas untuk drag. Fuh makan modal betul beb.

Walaupun acara ni menarik perhatian ramai harap-harap kebajikan pesakit tidak terabai dengan alas an pemandu sedang sibuk berlumba drag. Ha ha.
Kredit carbuzz.com







