
VOLKSWAGEN LANJUTKAN JAMINAN KOTAK GEAR DSG 2 TAHUN LAGI!
Bagi pemilik kenderaan Volkswagen, pasti wujud kebimbangan selepas jaminan selama lima tahun mereka tamat. Kini, mereka tidak perlu bimbang lagi kerana Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan lanjutan jaminan selama dua tahun untuk kotak gear Direct Shift Gearbox (DSG).
Dikenali sebagai VPCM Customer Care Goodwill, jaminan itu melibatkan kereta yang dihasilkan sehingga Disember 2013 dengan perbatuan mencecah 200,000km. Inisiatif tersebut akan bermula sebaik sahaja tempoh jaminan kenderaan tamat.
Bukan itu sahaja, VPCM Customer Care Goodwill turut melibatkan beberapa komponen terpilih untuk kenderaan yang sudah tamat tempoh jaminannya.
Goodwill ke atas DSG
VPCM Customer Care Goodwill ke atas DSG membolehkan pelanggan menerima lanjutan jaminan alat ganti selama dua tahun, bermula dari waktu komponen diganti. Pelanggan hanya dikenakan caj buruh yang minimum. Jaminan tambahan selama dua tahun itu melibatkan 100 peratus alat ganti dan buruh.
Goodwill ke atas komponen-komponen lain
VPCM juga menawarkan VPCM Customer Care Goodwill melepasi tempoh jaminan standard untuk alat-alat ganti terpilih berdasarkan kepada kes. Perkara ini akan dijelaskan oleh pegawai di pusat servis Volkswagen menerusi nombor VIN kenderaan dan sistem dalam talian VPCM.
BACA: 4 FAKTA YANG BOLEH MENGUBAH PERSEPSI ANDA TERHADAP VW VENTO
Bagi jaminan alat ganti standard Volkswagen, alat ganti yang diganti di pusat servis sah akan menerima jaminan selama dua tahun. Tidak termasuk komponen pakai lusuh (wear and tear).
Untuk layak menerima VPCM Customer Care Goodwill ke atas DSG dan komponen lain, pelanggan mestilah mempunyai rekod servis yang lengkap di mana-mana pusat servis Volkswagen.
“Kami harap VPCM Customer Care Goodwill dapat meningkatkan lagi pengalaman pemilikan kenderaan Volkswagen, selain memberi lebih perlindungan dan ketenangan minda buat para pelanggan.
“Kami ingin membina keyakinan dan kepercayaan, selain terus mengukuhkan kehadiran jenama ini di pasaran Malaysia,” kata Pengarah Urusan VPCM, Florian Steiner.
Untuk terus menawarkan pemilikan yang lebih berpatutan, program pertukaran alat ganti ke atas beberapa komponen terpilih ada disediakan. Sebagai tambahan, Pakej Ekonomi yang melibatkan model-model spesifik berusia lebih lima tahun sudahpun dilaksanakan di pengedar sah Volkswagen dan akan diumumkan tidak lama lagi.