Buletin

VOLKSWAGEN TAIGO. SUV SUB KOMPAK UNTUK EROPAH. 3 PILIHAN KUASA ENJIN

Tidak cukup dengan tawaran SUV sedia ada, Volkswagen kini tampil dengan sebuah lagi model SUV sub-kompak untuk pasaran Eropah. 

Dikenali sebagai Taigo, ia sebenarnya ialah kembar kepada model Nivus yang diperkenalkan di pasaran Amerika Selatan tahun lalu. Volkswagen mendakwa Taigo ialah  SUV coupe pertama yang dilancarkan dalam segmen kenderaan kecil. Sekali pandang, ia kelihatan seperti Polo yang ditinggikan menjadi SUV. 

Dibina di atas platform MQB A0 yang digunakan pada T-Cross, ia bagaimanapun sedikit panjang berbanding Polo dan T-Cross. Garis bumbung bahagian belakang yang sedikit melandai itu menawarkan kapasiti but seluas 438 liter, kecil sedikit daripada T-Cross dengan 455 liter. 

Ruang dalaman sama dengan Polo baharu. Pemandu dihidangkan dengan sistem infohibur terkini Volkswagen MIB3 yang dipadankan bersama pilihan skrin sentuh bersaiz 6.5 atau 9.2 inci, ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto tanpa wayar serta kluster meter digital sepenuhnya. 

Pilihan tambahan yang turut ditawarkan ialah kawalan suhu secara sentuhan dan barisan sistem bantuan pemandu, IQ.Drive. 

Pelanggan di Eropah boleh memilih di antara dua enjin iaitu 1.0 liter turbo tiga silinder TSI berkuasa 94hp atau 109hp dan enjin 1.5 liter turbo empat silinder berkuasa 148hp. Enjin 94hp dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Manakala enjin 109hp pula menggunakan transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar DSG 7-kelajuan. 

Volkswagen dijadual membuka tempahan Taigo pada suku keempat tahun ini dan pelanggan akan menerima kereta mereka pada awal tahun depan. Harga Taigo bagaimanapun belum didedahkan.    

GALERI

Google ads
Back to top button