Buletin

MERCEDES-BENZ MALAYSIA LANCAR DUA VARIAN E-CLASS CKD. HARGA BERMULA RM326,943

Mercedes-Benz Malaysia melancarkan model E-Class terbaharu versi pemasangan tempatan (CKD) iaitu E 200 Avantgarde dan E 300 AMG Line.

Model E 200 Avantgarde dijual pada harga bermula RM326,943.16 manakala E 300 AMG Line pula RM375,432.19.

Kedua-dua merupakan harga atas jalan termasuk pengecualian SST tanpa insurans.

Dua warna baharu ditawarkan iaitu kelabu (Grey Metallic) dan perak (High-Tech Silver) untuk pilihan para pelanggan.

E 200 Avantgarde menawarkan rekaan luaran Avantgarde yang menyerlahkan sisi elegan jentera mewah itu. Ia turut dilengkapi rekaan baharu gril hadapan dan lampu utama LED berprestasi tingggi serta lampu belakang.

Selain itu, model terbaharu berkenaan didatangkan rim aloi lima jejari berkembar 18 inci.

Bagi varian AMG Line, ia dilengkapi bampar baharu rekaan model AMG Performance, lampu utama LED Multibeam dan rim aloi AMG lima jejari berkembar 19 inci.

Dari segi kemasan dalaman, kedua-dua jentera mendapat sentuhan gabungan eksklusif dan mewah Mercedes-Benz.

Roda stereng pelbagai fungsi dibaluti kulit asli Nappa digabungkan bahan berkualiti tinggi serta inovatif terkini dalam memudahkan pemanduan.

Bahagian konsol tengah mendapat sentuhan trim kayu, tempat duduk larasan elektrik dengan fungsi memori dan sokongan tulang belakang serta pelindung suria pada cermin belakang.

Model E 200 Avatgarde dilengkapi permukaan kawalan dengan sentuhan warna hitam gloss, trim dan persekitaran menampilkan elemen aluminium.

E 300 AMG Line pula, didatangkan bumbung suria panorama dan kemasan upholsteri kulit ARTICO.

Mercedes-Benz E-Class terbaharu itu mendapat khidmat enjin 2.0 liter dipadankan transmisi 9G-TRONIC, sistem suspensi AGILITY CONTROL dan DYNAMIC SELECT.

E 200 Avatgarde mampu menjana kuasa mencecah 197 hp dan tork 320 Nm manakala E 300 AMG Line pula dengan kuasa 258 hp serta tork 370 Nm.

Dalam pada itu, antara ciri-ciri keselamatan ditawarkan termasuk Sistem PRE-SAFE, Bantuan Parkir Aktif PARKTRONIC, Pemantauan Titik Buta, Bantuan Brek, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, kamera keliling 360 darjah dan bantuan kekal laluan aktif.

Untuk tempahan atau keterangan lanjut boleh melayari laman www.mercedes-benz.com.my/e-class.

Google ads
Back to top button