
VOLVO V40 T5 DRIVE-E – RM192,888
Volvo nampaknya kini serius dalam memasarkan kenderaan penumpang premium yang telah berubah ke arah prestasi.
Model-model moden Mercedes-Benz, BMW, Volkswagen dan Audi telah membuktikan bahawa enjin kecil dengan kuasa kuda di atas 200hp merupakan resepi terbaik untuk menjual kereta mereka.
Ketika jurutera Jepun sedang tidur dengan enjin-enjin lemau, pengeluar Eropah giat menghasilkan enjin kompak yang berkuasa dan ajaibnya, jimat bahan api. Mungkin Lexus sahaja yang bertanding dengan enjin 2.0 liter turbo, tetapi di benua Eropah, enjin-enjin kecil ini ialah makanan harian mereka.
Menyedari poliferasi itu, Volvo Malaysia telah memperkenalkan Volvo V40 T5 dengan rangkaian enjin Drive-E. Ini adalah teknologi terbaru Volvo yang digandingkan dengan model kompak V40.
Enjin Drive-E itu mampu menghasilkan 245hp dan tork 350Nm. Pecutan 0-100km/j ialah 6.3 saat dan kelajuan maksimum 240km/j.
Enjin ini direka sejajar dengan keperluan teknologi hari ini. Walaupun menghasilkan lebih 32 kuasa kuda dan 50Nm tork berbanding enjin terdahulu. Drive-E mencatat penggunaan bahan api lebih baik iaitu sebanyak 6.1 liter bagi setiap 100km (16.4km/L). Ia juga menghasilkan emisi rendah pada 143 g/km.
Antara ciri menarik yang terdapat pada V40 ini ialah City Safety, Blind Spot Information System (BLIS), Cross Traffic Alert dan Park Assist Pilot. Ia boleh dimiliki dengan harga RM192,888 (harga tanpa insuran) termasuk 5-tahun waranti dan skim Bantuan Volvo-on- Call selama 5 tahun.
Sebagai perbandingan, harga lama V40 ialah RM190,888. Kenaikan RM2,000 yang sangat berbaloi kami rasa.