" "
Buletin

VW BELI TEKNOLOGI SWAPANDU BERNILAI RM17.8 BILION DARIPADA FIRMA INNOVIZ

Volkswagen dilapor akan membeli perisian dan perkakasan pemanduan autonomi daripada Innoviz Technologies Israel dalam perjanjian bernilai AS$4 bilion (RM17.8 bilion). Perjanjian itu bermakna Innoviz kini mempunyai pesanan yang bernilai $6.6 bilion (RM29.4 bilion).

Pada Mei lalu, Volkswagen mengumumkan bahawa ia bakal menggunakan cip Qualcomm untuk kenderaan autonomi yang akan datang.

Perjanjian itu dimeterai dengan kumpulan teknologi CARIAD VW. Ia merangkumi komponen seperti pengesan lidar berasaskan lazer yang akan digunakan oleh Kumpulan Volkswagen sebagai sistem bantuan pemandu kenderaan automatik.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan pasukan CARIAD, seterusnya menjadi pembekal pengesan LiDAR dan perisian untuk menyokong keselamatan mobiliti dalam kenderaan yang dilancarkan dari pertengahan dekad ini.

“CARIAD ialah pemain utama dalam transformasi dunia automotif. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada misi Volkswagen,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Innoviz, Omer Keilaf dalam satu kenyataan.

CARIAD mengumumkan satu siri perkongsian teknikal sepanjang 2022 termasuk bersama Bosch, Qualcomm dan STMicroelectronics. Volkswagen sebelum ini telah melabur sebanyak AS$2.6 bilion (RM11.5 bilion) ke dalam syarikat A.S. Argo AI yang menyaksikan kereta unit pandu sendiri Volkswagen dipindahkan ke Argo.

Innoviz turut menerima pelaburan daripada syarikat seperti Magna International dan Harman International.

Syarikat teknologi itu mendakwa perisian LiDAR dan kemudahan canggihnya boleh melihat dengan lebih baik berbanding pemanduan manusia dan mengurangkan kemungkinan ralat. Innoviz juga mempunyai perjanjian LiDAR dengan BMW.

Google ads
Back to top button