UBER JANA RM36.1 BILION SUKU PERTAMA TAHUN LALU, TETAPI KENAPA MASIH RUGI?
Uber memperoleh banyak wang pada suku tahun lalu, tetapi entah kenapa ia tidak menjana keuntungan. Syarikat itu melaporkan suku akhir tahun lalu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. Keputusan tersebut menunjukkan hasil meningkat dua kali ganda kepada AS$8.1 bilion (RM36.1 bilion).
“Suku lepas saya mencabar pasukan kami untuk memenuhi komitmen keuntungan dengan lebih cepat daripada yang dirancang dan mereka berjaya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Uber, Dara Khosrowshahi dalam satu kenyataan. “Apa yang penting, mereka menunjukkan pertumbuhan yang seimbang.”
Dalam tempoh tiga bulan yang berakhir pada 30 Jun, Uber melaporkan tempahan kasar (termasuk panggilan perjalanan, penghantaran makanan dan pengangkutan) meningkat 33 peratus kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak AS$29.1 bilion (RM129 bilion).
Walau bagaimanapun, Uber masih mencatatkan kerugian bersih sebanyak AS$2.6 bilion (RM11.6 bilion) dalam tempoh yang sama. AS$1.7 bilion (RM7.6 bilion) daripada kerugian tersebut datang daripada kerugian dalam pelaburan ekuitinya. Jika anda membandingkan jumlah kerugian itu dengan masa yang sama tahun lepas, ia agak suram, dengan jumlah $1.1 bilion (RM 4.9 bilion) pada suku akhir 2021.
Terdapat sekurang-kurangnya satu statistik menunjukkan reaksi positif, Uber melaporkan jumlah penumpang meningkat kepada 122 juta orang berbanding jangkaan awal 120.5 juta.
“Ini menandakan fasa baharu untuk Uber, membiayai sendiri demi pertumbuhan masa depan dengan peruntukan modal yang berdisiplin, sambil memaksimumkan pulangan jangka panjang untuk pemegang saham,” kata Nelson Chai, CFO Uber dalam satu kenyataan.
Melihat ke suku seterusnya, Uber menjangkakan janaan tempahan kasar di antara AS$29 (RM129 bilion) dan AS$30 bilion (RM133 bilion). Tetapi, siapa kata mereka akan mencatat keuntungan?
Memang Uber tahu cara menjana wang, ia juga benar-benar tahu cara membelanjakannya. Walaupun anda tidak mengambil kira kerugian yang dialami syarikat perkongsian perjalanan daripada pelaburan ekuiti, syarikat itu masih kehilangan AS$900 juta (RM4.1 bilion).