
WANITA PANIK, LELAKI TIBA-TIBA MELOMPAT KE ARAH KERETA, SENGAJA CETUS KEMALANGAN
Kecoh sosial media baru-baru ini apabila sebuah video di Instagram memaparkan seorang wanita berdepan detik cemas apabila lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba melompat ke arah keretanya.
Kejadian itu berlaku ketika wanita berkenaan sedang melalui kawasan bulatan Kampung Pandan dan menurutnya, tindakan lelaki itu dipercayai sengaja bagi mencetuskan kemalangan.
“Pada mulanya saya memandu perlahan kerana sedang melihat aplikasi Waze, tiba di bulatan, lelaki ini tahan kereta dan mahu saya melanggar dia. Masa saya rakam video ini, sudah seminit juga dia tahan kenderaan saya.

“Saya undurkan kenderaan, tetapi dia kejar saya dan mula panjat kereta saya. Kereta banyak lalu-lalang tapi tiada siapa berhenti untuk membantu,” tulisnya.
Katanya, dia kemudian dibantu oleh seorang lelaki yang sedang menaiki basikal dan telah melihat kejadian itu dari awal.
Menerusi rakaman itu, dilihat lelaki terbabit cuba melawan, tetapi akhirnya berjaya diarahkan untuk turun dari kenderaan wanita berkenaan.
“Laporan polis sudah dibuat kerana bimbang jika ada yang mendakwa saya telah melanggar individu tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, wanita tersebut juga memaklumkan dia tidak sempat berterima kasih kepada lelaki yang membantunya dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengenali individu terbabit.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna bimbang dengan kejadian tersebut.
“Takutnya tengok. Makin menjadi-jadi pula perangai warga asing, nasib baik ada yang membantu,” ujar seorang pengguna Instagram.
Komen lain, “Taktik macam ini dah selalu jadi dekat luar negara untuk tuntut ganti rugi. Risau pula dah berleluasa di Malaysia.”
Sehingga kini, video tersebut ditonton lebih 200,000 kali. – KOSMO! ONLINE







