Buletin

TESLA MODEL Y RASMI DILANCARKAN, TIGA VARIAN, 534HP, JARAK GERAK 533KM, HARGA BERMULA RM199K

Tesla Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Tesla Model Y bagi pasaran tempatan. Didatangkan dalam tiga varian, ia kini boleh dimiliki pada harga RM199,000 (Tesla Model Y RWD), RM246,000 (Tesla Model Y Long Range AWD) dan RM288,000 (Tesla Model Y Performance AWD).

Untuk rekod, tempahan kini boleh dibuat dengan yuran tempahan sebanyak RM1,000 dan penghantaran terawal akan bermula awal 2024.

Di dalam kabin, ketiga-tiga varian menerima upholsteri jenis kulit vegan tetapi pelanggan juga boleh memilih kemasan hitam atau putih dengan bayaran tambahan sebanyak RM5,000.

Perincian lain adalah seperti berikut:

  • Skrin sesentuh utama 15-inci
  • Bumbung kaca panaromik
  • Sistem audio premium dengan 13-pembesar suara bersama subwoofer dan dua power amp
  • Dua pengecas tanpa wayar
  • Empat port USB Type C
  • Tempat duduk hadapan larasan elektrik
  • Pemanas pada semua tempat duduk dan roda stereng
  • Penghawa dingin berserta sistem penapis HEPA dan Bioweapon Defence Mode

Selain itu, terdapat pilihan naik taraf rim bersaiz 20-inci Induction dengan kos tambahan RM10,000 bagi dua varian Model Y terawal.

Sementara, Tesla Model Y RWD dan AWD Long Range menggunakan rim Gemini 19 inci manakala versi AWD Performance diserlahkan rim Überturbine 21 inci.

Bakal bersaing dengan model seperti BMW iX3 dan juga Mercedes-Benz EQC, Tesla Model Y menggunakan asas sistem elektrik 400V di pasaran negara kita.

Secara mekanikal, Model Y RWD dipacu oleh motor elektrik tunggal, menghasilkan 347hp, 420Nm tork serta dilengkapi bateri 57.5kWj dan menawarkan jarak gerak 430km. Kelajuan maksimum pula dihadkan 217km/j.

Bagi model Model Y Long Range AWD, ia digerakkan oleh motor elektrik berkembar, menghamburkan kuasa 514hp, 493Nm tork, manakala jarak gerak ditawarkan adalah 533km.

Tesla Model Y Performance AWD pula berupaya menjana kuasa 534hp dan 660Nm tork. Had kelajuan maksimum adalah lebih tinggi iaitu 250km/j tetapi jarak gerak ditawarkan hanya 514km, kurang 19km berbanding varian Long Range AWD.

Untuk makluman, Tesla Model Y mempunyai lima pilihan warna iaitu Pearl White Multi-Coat, Solid Black, Midnight Silver Metallic, Deep Blue Metallic dan Red Multi-Coat.

Tidak ketinggalan, Tesla turut menawarkan waranti standard selama empat tahun atau 80,000km selain memberikan waranti bateri dan unit pemanduan selama lapan tahun atau 160,000km (mana-mana terlebih dahulu), dengan pengekalan minimum 70 peratus kapasiti bateri sepanjang tempoh jaminan.

GALERI:

Google ads
Back to top button