Pandu Uji

KIA SORENTO 2.5 7 TEMPAT DUDUK, LAGI BEST?

Kia Sorento dilancarkan di sini dalam 3 varian samaada 2.2 Turbodiesel AWD 6, 2.5 Petrol AWD ataupun 2.5 Petrol FWD. Semua varian AWD datang dengan 6 tempat duduk, hanya varian pacuan roda depan yang hadir dengan harga RM 212,000 diberikan 7 tempat duduk merupakan varian termurah bagi model Kia Sorento

Mungkin anda bayangkan yang varian termurah ini menggunakan bampar hitam, cermin sisi macam Axia Rahmah dan juga menggunakan rim kompang. Tapi secara fizikal, Kia Sorento 2.5 NA tidak jauh beza dengan varian yang lebih mahal dan masih menerima semua kemasan yang ada pada varian yang mahal.

Bahagian depan masih menerima Tiger Nose Grille dengan kemasa hitam berkilat, LED DRL Tiger Eyerliner, lampu depan LED projektor dan juga lampu belakang LED. Hanya sport rim bersaiz 19 inci ditukar kepada rim 18 inci dan dibalut dengan tayar 235/60 R18 Goodyear Efficient Grip serta ciri Roof Rail dibuang

Untuk kemasan dalam, ciri ciri mewah yang lain seperti lampu kabin masih dikekalkan, menerima skrin 10.25 inci untuk paparan multimedia lengkap dengan Android Auto dan Apple Car Play, susunan kusyen 2-3-2, perehat tangan pada tempat duduk barisan kedua dan juga kemasan plastik berkilat serta krom menjadikan ruang dalaman nampak mewah

Bagi varian termurah ini, paparan meter digital ditukar kepada meter analog dan juga skrin sebesar 4.2 inci sahaja yang memaparkan maklumat penting pemanduan. Ciri AutoHold dan Electeric Parkir Brake juga masih lagi dikekalkan pada varian ini

Kusyen di barisan kedua menawarkan temapt duduk untuk 3 penumpang, atau perehat tangan jika tiada penumpang di bahagian tengah, corong penyaman udara, 6 poin USB (2 poin bagi setiap barisan) serta butang elektrik bagi membuka kusyen secara fold & tumble, untuk memudahkan penumpang masuk ke barisan ke 3

Di barisan ke 3, Kia Sorento menawarkan 2 corong penyaman udara lengkap dengan suis kelajuan kipas dan ruang yang sesuai untuk kanak kanak atau remaja. Sekiranya semua 7 tempat duduk digunakan, Sorento masih memberikan sekitar 187 liter ruang kargo.

Ruang kargo ini boleh dibesarkan menjadi 616 liter jika kusyen barisan ketiga dilipat dan digandakan menjadi 2011 liter jika kusyen barisan kedua turut dilipat. Jika dibandingkan dengan varian 2.2 turbodiesel, varian 2.5 petrol FWD tidak menawarkan ciri blind curtain untuk barisan kedua, pembesar suara BOSE dan juga kuysen balutan kulit digantikan dengan fabrik.

Sama seperti varian petrol AWD, varian pacuan roda depan menerima enjin 4 silinder 2500cc SmartStream yang menjana 177 kuasa kuda dan 232Nm tork dengan semua kuasa dihantar ke roda depan menerusi transmisi automatik 6 kelajuan.

Terdapat 4 mode pemanduan yang disediakan samaada ECO, Normal, Power ataupun Smart. Seperti biasa penulis menggunakan mode pemanduan Smart yang akan menukar mana-mana mode lain secara automatik bergantung pada gaya pemanduan.

177 kuasa kuda dan 232Nm tork mungkin nampak biasa sahaja di atas kertas, tapi ia memberikan pecutan yang lebih baik berbanding dengan varian 2.5 petrol AWD. Tambahan pula rim bersaiz 18 inci mengurangkan geseran golekan yang lebih bagus berbanding dengan rim 19 inci

Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 10 ke 12 saat dan memberikan rasa pecutan serta enjin terasa lebih “ringan”. Di sini anda boleh menukar dan mengawal sendiri proses pertukaran gear 6 kelajuan dengan menggunakan ciri Shiftronic pada tombol gear kerana ciri paddleshit tidak diberikan

Dalam aspek keselamatan, varian 2.5 7 tempat duduk ini masih menerima ciri keselamatan aktif seperti Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Blind Spot Warning, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist , Auto High Beam, Front Collision Warning & Braking, Smart Cruise Control, 4 poin ISOFIX, serta beg udara penumpang barisan pertama boleh dimatikan

Dalam aspek keselamatan, varian ini tidak mendapat Blind Spot View Monitor kerana menggunakan meter analog serta kamera 360 darjah digantikan dengan kamera undur sahaja. Kalau anda bukan selalu membawa kereta besar, maka anda akan berakhir dengan parkir senget seperti penulis

Satu perkara yang dikenalpasti oleh penulis ialah varian termurah ini adalah varian yang paling ringan dengan berat hanyalah 1719kg sahaja, menjadikan cesi ini kurang berayun di laluan lurus. Salah satu faktor lain ialah pusat graviti lebih rendah dengan menggunakan rim 18 inci

Jadi sewaktu balik ke kampung melalui jalanraya Grik-Jeli yang sarat dengan selekoh, penulis tidak rasa penat dan boleh memasuki selekoh dengan agresif seperti memandu SUV dalam segmen C seperti Nissan X-Trail.

Roda depan dengan suspensi Topang McPherson dan roda belakang yang menggunakan MultiLink nampaknya bekerjasama dengan baik, tidak terlalu lembut di selekoh dan tidak terlalu keras sewaktu melalui jalan yang tidak rata.

Pedal minyak pula menawarkan satu ciri khas, jika ditekan rapat sehingga berbunyi klik maka ia memberikan semua kuasa yang ada pada enjin dengan agresif sama seperti yang ditawarkan pada kebanyakan model Volkswagen

Bagi sebuah SUV besar 3 baris tempat duduk, respon stering dengan cesi boleh dikatakan “sedap” dan menawarkan ciri gegaran bagi mengingatkan anda sekiranya ada kereta atau objek lain yang memasuki zon titik buta kereta

Ciri Shiftronic pula memberikan anda kegembiraan untuk menukar gear secara manual, namun respon gear terutama ketika menurunkan gear dari gear 6 ke gear 4 adalah lambat sekitar setengah saat. Ia mengingatkan anda ini bukanlah sebuah kereta sport prestasi tinggi, tapi sebuah SUV untuk keluarga

Buat pertama kali dalam sejarah pemanduan balik ke kampung, penulis berjaya memandu secara terus tanpa rehat selama 4 jam. Malah penumpang lain pun turut tidur dengan lena, membuktikan Sorento ini sangat senyap. Pada halaju 80 – 90km/jam bunyi bising yang direkodkan hanyalah sekitar 62dB sahaja

Mungkin anda pada waktu ini memiliki sebuah SUV kompak segmen C dan malas untuk bertukar ke MPV, maka Kia Sorento 2.5 7 tempat duduk ini adalah pilihan yang lebih segak dengan gayaan luar maskulin ala-ala SUV buatan Amerika

Ia sesuai untuk keluarga yang ada 4 atau 5 orang anak sebagai kenderaan utama. Kia Malaysia menawarkan jaminan selama 5 tahun dan juga servis percuma selama 5 tahun. Anda kena terima kelebihan Kia Sorento, rekaan luarnya lebih bergaya cuma kalah pada harganya yang sedikit tinggi

Google ads
Back to top button