Buletin

WARGA KANADA SANGGUP TERBANG KE JERMAN UNTUK BUAT ADUAN MASALAH S-CLASS

Mercedes Benz S-Class telah meletakkan tanda aras dalam aspek keselamatan berdekad-dekad lamanya. Malah, ia dianggap sebagai antara kereta yang memiliki teknologi paling maju dalam dunia automotif.

Begitupun, persepsi tersebut tidak disokong pasangan dari Richmond, British Columbia, Kanada yang merasakan kereta S-Class milik mereka tidak mampu membuatkan mereka selamat.

Ia sekali gus telah membawa pasangan ini meredah sehingga ke ibu pejabat Mercedes Benz di Jerman untuk membuat aduan. Menurut Richmond News, seorang lelaki tempatan, Da Tong Yang telah membeli kereta baharu model S550 pada tahun 2017 untuk diberikan kepada isterinya.

Pada waktu itu, pasangan ini beranggapan kereta berkenaan merupakan antara sedan mewah paling selamat di jalan raya.

Selepas setahun bebas masalah apabila memiliki kereta tersebut, stereng S550 milik keluarga Yang terkunci ketika sedang memandu sehingga hampir merempuh dinding konkrit di West 41st Avenue di Vancouver.

Ketika kejadian, kereta berkenaan baru sahaja merekodkan perbatuan kira-kira 6,437km. Ia kemudian ditunda untuk dibaiki di pusat servis Mercedes-Benz Richmond.

Menurut Mercedes-Benz yang telah menjual lebih setengah juta kereta pada tahun ini, isu sedan berkenaan ada kaitan dengan masalah dalaman eletrik di bahagian stereng kuasa dan gear pinan.  

Rak stereng tersebut telah diganti. Namun, pasangan itu enggan mengambil semula kereta mereka. Sebaliknya mendesak agar dibayar ganti rugi atau digantikan dengan kereta baharu.

Yang telah mengambil keputusan menyaman Mercedes-Benz dengan menuntut kerosakan mental dan kewangan. Bagaimanapun, apabila kes mahkamah tidak ke mana, lelaki ini terus mengambil keputusan untuk pergi ke ibu pejabat Mercedes-Benz di Jerman.

Dia memberitahu Richmond News, keputusan tersebut diambil untuk menuntut keadilan, bukan sahaja bagi dirinya tetapi pemandu-pemandu lain.

Isteri Yang turut memberitahu bahawa kereta berkenaan tidak boleh dipercayai, tidak selamat dan tidak memberi ketenangan seperti kereta mewah.  

Yang berjaya mengunjungi ibu pejabat Mercedes-Benz di Stuttgart dan membuat aduan secara lisan tetapi tidak diendahkan.

Mercedes Benz masih menafikan jaminan kereta berkenaan telah dilanggar dan menegaskan ia masih selamat untuk dipandu. – carbuzz

Google ads
Back to top button