Buletin

HOVDING 3 – TEKNOLOGI HELMET BASIKAL PALING SELAMAT

Hovding yang berpangkalan di Sweden membangunkan konsep teknologi helmet beg udara untuk penunggang basikal sejak tahun 2005 lagi.

Mengambil inspirasi daripada teknologi beg udara industri automotif, Hovding telah membangunkan peranti seakan kolar yang menempatkan beg udara.

Sekiranya penunggang basikal terjatuh, beg udara berkenaan akan diaktifkan secara automatik demi memastikan keselamatan pengguna.

Sudah pasti, teknologi ini memberi banyak manfaat berbanding helmet basikal tradisional. Dari segi saiz, ia kecil dan memberi keselesaan. Selain sangat efisien serta pantas apabila berlaku kecemasan.

Produk Hovding 3 telah dilancarkan pada tahun lalu dan menerima beberapa penambahbaikan berbanding produk terdahulu.

Ia kini lebih ringan, pintar dan didatangkan bersama bateri yang tahan lama.

Menurut kajian yang dilakukan oleh syarikat insurans Sweden, Folksam dan British Road Safety Trust pada Jun lalu, topi keledar itu terbukti 8 kali ganda lebih efisien berbanding helmet basikal konvensional.

Hovding 3 menawarkan perlindungan maksimum dan mencatat keputusan terbaik ketika ujian penyerapan hentakan serta garis pengurangan hentaman.

“Berbanding ujian helmet paling teruk dalam ujian kami, Hovding menawarkan pengurangan risiko sebanyak tujuh kali ganda terhadap kecederaan otak,” kata Folksman dalam satu kenyataan.

“Ini merupakan sokongan yang sangat kuat terhadap keupayaan perlindungan Hovding,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hovding, Fredrik Carling.

Hovding 3 akan mengelembung dalam masa 0.1 saat apabila pengesan mengesan pergerakan abnormal. Ia akan melindungi bahagian leher dan kepala.

Selain itu, keluaran ketiga produk ini turut didatangkan dengan sambungan Bluetooth dan boleh menghubungkan orang ketika kecemasan.

Penunggang boleh memantau perjalanan di mana berlaku kemalangan dengan memadankan aplikasi di peranti pintar mereka.

Hovding 3 didatangkan dengan satu saiz yang boleh dilaraskan dengan menggunakan dial BOA. – autoevolution.

Google ads
Back to top button