
YOUTUBER MUSNAHKAN GMC HUMMER EV BAHARU, JARAK PERBATUAN BARU 15 KM!
GMC Hummer EV merupakan sebuah kenderaan off-road berkuasa elektrik yang sangat berkuasa untuk golongan berkemampuan tinggi, namun ternyata tidak semua orang memiliki keupayaan untuk mengendalikannya.
Seorang YouTuber bernama Mondi dilapor telah merosakkan GMC Hummer Edition 1 miliknya tidak pun sampai sebulan selepas beliau mengambil kenderaan miliknya dari pusat pameran.
Awal bulan lalu, beliau membuat video dokumentasi proses mengambil kenderaan baharu dari pusat pengedar.
Youtuber itu turut melakukan ujian pecutan Watts to Freedom (WTF) yang membolehkan Hummer EV memecut sepantas 3 saat dari 0-96 km/j.

Namun, kesilapan percaturan semasa ujian pemanduan off-road menyebabkan Hummer EV itu terhumban ke dalam parit besar.
Impak hentaman itu mengakibatkan radiator rosak teruk, dan turut menyebabkan kerosakan pada gandar roda belakang serta beberapa komponen bawah badan Hummer EV itu.
Untuk menjadikan keadaan lebih buruk, Hummer EV itu baharu sahaja mencatatkan jarak perbatuan sekitar 14.48 km sahaja!
Tidak dapat dipastikan nilai kerugian sebenar yang terpaksa ditanggung, namun kos untuk membaikinya sudah tentu tidak semurah yang disangka.
Sebagai makluman, kos untuk menggantikan dua unit lampu belakang Hummer EV ini bernilai $6,090.96 (RM28,740).