Buletin

VOLVO XC100. ANCAMAN SERIUS KEPADA BMW DAN MERCEDES-BENZ

SUV XC90 merupakan kenderaan paling besar dihasilkan oleh Volvo buat masa sekarang. Namun, baru-baru ini timbul khabar angin bahawa pembuat kereta mewah dari Sweden itu sedang membangunkan model XC100 yang lebih besar. 

Dalam satu mesyuarat pengedar, XC100 disifatkan sebagai SUV lebih besar dan dibina di atas platfotm sama XC90 generasi seterusnya. Ia akan bersaing secara langsung dengan BMW X7 dan Mercedes-Benz GLS. 

Jentera itu dijadual tiba di pasaran pada tahun 2023 dan menggunakan rangkaian kuasa plug-in hybrid yang sama seperti XC90. Varian elektrik sepenuhnya dijangka diperkenalkan pada tahun 2024. 

Biarpun begitu, MotorTrend melaporkan XC100 bukan diposisikan di atas XC90. Sebaliknya akan menjadi sebuah crossover coupe yang akan menjadi pencabar kepada BMW X6 dan Mercedes-Benz GLE Coupe.

Khabar angin itu kedengaran agak masuk akal  kerana Volvo sebelum ini mahu membina XC40 versi coupe yang dipanggil C40. 

Bukan itu sahaja, XC100 mungkin hanya akan hadir dengan rangkaian kuasa elektrik. Justeru, ia bakal dijual di bawah jenama Volvo Recharge, sama seperti model EV XC40 Recharge. 

Memandangkan Volvo hanya memperkenalkan model ini pada tahun 2023, kita masih ada banyak masa untuk meneka bagaimanakah rupa sebenar XC100 nanti.  

Google ads
Back to top button