Buletin

HONDA ZR-V E:HEV DILANCARKAN DI CHINA, HARGA BERMULA RM116K

Honda melancarkan Honda ZR-V e:HEV iaitu ZR-V versi hibrid selari dengan empat model lain yang ditawarkan pada harga bermula AS$26,200 – AS$33,300 (RM116,231 – RM147,728) di China.

ZR-V ialah SUV crossover subkompak dengan reka bentuk sporty dan merupakan model yang dibina berdasarkan kepada varian Honda HR-V Amerika Utara.

Di bahagian hadapan, model ini menggunakan gril berbentuk heksagon serta dihiasi struktur jalur menegak.

Tampil sporty, rim aloi aluminium, cermin luar serta antena sirip jerung dikemaskan dengan warna hitam. Dari segi dimensi, SUV ini mempunyai ukuran 4,568/1,840/1,611mm dan jarak roda 2,655mm.

Bahagian belakang pula terdapat logo e:HEV untuk menunjukkan identitinya, selain ekzos yang dipadankan dengan warna kelabu metalik.

Bahagian dalaman dilengkapi panel instrumen 10.2 inci, skrin sentuh kawalan pusat 10.1 inci, paparan head-up (HUD), stereng pelbagai fungsi tiga jejari dan sistem Honda Connect 3.0. Untuk sistem audio pula, ia didatangkan dengan 12 pembesar suara Bose.

Dari segi keselamatan, SUV itu menyokong fungsi seperti kawalan pelayaran adaptif serta pemantauan titik buta dengan lapan sensor ultrasonik dan dua radar. Ia juga boleh mengesan kenderaan dari arah hadapan apabila membelok ke kanan melalui kamera sudut lebar hadapan.

Ciri lain pada SUV crossover itu termasuklah pengudaraan/tempat duduk memori serta pengecasan tanpa wayar. Di bawah skrin kawalan pusat pula terdapat saluran pendingin hawa dan beberapa butang kawalan fizikal.

ZR-V e:HEV dilengkapi sistem hibrid i-MMD generasi keempat Honda yang terdiri daripada dwi motor elektrik, ia mampu menghamburkan kuasa 181hp serta tork 315Nm.

Sementara bateri lithium-ion serta enjin 2.0L aspirasi semula jadi dengan kecekapan haba sehingga 41 peratus menjana kuasa sehingga 140hp dan tork 182Nm. Kuasa komprehensif sistem ini ialah 199hp dan dipadankan dengan E-CVT.  

Honda menyatakan penggunaan bahan api ZR-V e:HEV mengikut piawaian WLTC adalah sekitar 5.13L/100km hingga 5.26L/100km, bergantung pada model.

Google ads
Back to top button