Buletin

WOW BANTU PEMANDU DI LEBUH RAYA

Perkhidmatan Bengkel Bergerak (Workshop on Wheels) atau WOW yang diperkenalkan oleh PLUS hampir  setahun lalu berjaya mengurangkan aduan tentang kegiatan penipuan oleh trak tunda dan bengkel yang tidak bertanggung jawab secara mendadak. 

KLC010276818

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid memberitahu penubuhan perkhidmatan WOW merupakan inisiatif PLUS untuk mengelakkan pengguna lebuh raya terus menjadi mangsa syarikat trak tunda atau bengkel.

Sebelum WOW diperkenalkan, PLUS menerima kira-kira 42 aduan di antara tahun 2011 hingga September 2012 berhubung kegiatan penipuan trak tunda dan bengkel. Setelah WOW diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, hanya 5 aduan diterima setakat ini.

PLUS telah berkolaborasi dengan pihak AAM untuk sama-sama menangani masalah ini. AAM telah melantik bengkel-bengkel panel mereka untuk menyediakan perkhidmatan bengkel bergerak di lebuh raya.

KLC010276821

Noorizah berkata demikian ketika taklimat prestasi perkhidmatan WOW kepada pihak media di Persada PLUS baru-baru ini.

“Perkhidmatan WOW juga merupakan salah satu daripada usaha berterusan PLUS dalam memastikan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa pada setiap masa,” tambah Noorizah.

Sama seperti perkhidmatan yang ditawarkan oleh PLUSRonda sekarang,  perkhidmatan asas WOW termasuklah menunda kenderaan ringan (Kelas 1) ke plaza tol, kawasan rehat atau hentian sebelah yang terdekat.

KLC010276825

Pemeriksaan dan membaiki kerosakan kecil juga akan diberi secara percuma kepada pengguna lebuh raya yang menghubungi talian bebas tol PLUSLine: 1800 88 0000 atau menggunakan telefon kecemasan di sepanjang lebuh raya.

Sebaik menerima maklumat daripada pengguna, pasukan PLUSRonda akan diarahkan ke lokasi. Anggota PLUSRonda kemudian akan memeriksa, membuat penilaian dan cuba membaiki kerosakan kenderaan tersebut. Sekiranya kerosakan tidak dapat dibaiki, pasukan PLUSRonda akan menghubungi semula Pusat Kawalan Trafik sebelum unit WOW dikerah ke lokasi untuk memberi bantuan seterusnya.

WOW turut menyediakan perkhidmatan membaiki dan menukar alat ganti kenderaan seperti bateri kereta, radiator, kipas dan lain-lain dengan caj yang berpatutan. Semua kerja-kerja ini akan dikendalikan di lokasi selamat di lebuh raya tanpa perlu keluar dari kawasan lebuh raya dan membayar kos tundaan.

WOW 2

Namun begitu, jika kerosakan memerlukan perkhidmatan membaiki yang lebih rumit, kenderaan mungkin perlu ditunda ke bengkel WOW di luar kawasan lebuh raya. Walau bagaimanapun, sekiranya pengguna masih mahu menghantar kenderaan mereka ke bengkel pilihan masing-masing, mereka boleh berbuat demikian dengan kos ditanggung oleh pengguna. .

”Bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan keraguan kepada pengguna, caj menukar alat ganti kenderaan dipaparkan dengan jelas pada kenderaan WOW,” kata Noorizah.

Secara ringkasnya, perkhidmatan yang diberikan oleh WOW adalah percuma. Tetapi, pengguna perlu membayar caj alat ganti kenderaan yang dikenakan oleh WOW.

Sejak diperkenalkan secara berperingkat bermula Oktober tahun lalu, sebanyak 3,387 kes kerosakan kenderaan berjaya diselesaikan oleh pasukan WOW. Terdapat 17 pasukan WOW yang beroperasi 24 jam di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Linkedua ketika ini.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button