
Buletin
WRC 2020 – PERSEDIAAN MENGHADAPI RALLY ITALIA SARDEGNA
Sebelum kita ke tajuk utama, izinkan BK memaklumkan tentang penundaan acara Rally Shakedown KBS yang sepatutnya berlangsung pada hujung ini dek kerana Pandemik Covid 19 tiba – tiba semakin menggila pula.
Baiklah, sekarang ini kita pergi ke tajuk utama artikel, tentang perlumbaan Rally Italia Sardegna yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini di Kepulauan Sardinia dan juga rangkuman berita dunia rali.
- Perlumbaan tiga dijangka berlangsung dalam keadaan cuaca panas dan berdebu dengan berpusat di Alghero, utara Kepulauan Sardinia.
- Permukaan laluan trek dengan batu kerikil yang kasar sempit dan dilapisi dengan batu besar di kiri kanan, tidak memberi ruang untuk sebarang kesalahan kepada pemandu. Juga terdapat permukaan berpasir yang pastinya menguji kereta dan tayar sehingga maksimum.
- Toyota Gazoo Racing akan sekali lagi membariskan empat buah jentera Yaris WRC dengan diketuai Elfyn Evans, Sebastian Ogier, Kalle Rovanperä serta pemandu dari Jepun, Takamoto Katsuta.
- Pasukan Hyundai Shell Mobis akan turut membariskan pelumba handalan mereka, Ott Tanak, Thierry Neuville serta penyandang juara perlumbaan di Itali tahun lepas, Dani Sordo. Malah, pasukan K-Pop ini turut menghantar jentera keempat mereka, dengan pemandu dari Perancis Pierre-Louis Loubet. Jikalau bertanya siapakah gerangan brader dari Perancis ini, beliau merupakan pemandu berusia 23 tahun dan sebelum ini berlumba dalam WRC2.

- Pelumba lagenda, Sebastian Loeb tampaknya bakal mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Hyundai, apabila pasukan itu mengumumkan mereka tidak lagi akan bekerjasama untuk tahun ketiga pada tahun 2021. Tapi Pakcik Sebastian Loeb tidak menolak sebarang kemungkinan pada masa akan datang.

- Pemandu lagenda rali dari Sweden, Petter Solberg turut bakal beraksi di Sardinia – Wolf Power Stage. Tapi bukan sebagai pelumba. Beliau bakal beraksi bersama jentera Citroen C3 untuk sesi demo tayar generasi terbaharu Pirelli Scorpion KX yang bakal digunakan untuk perlumbaan bagi musim 2021 kelak.

- Seorang lagi pemandu pasukan Hyundai, Craig Breen yang beraksi cemerlang di Rali Estonia, dijangka dipanggil kembali beraksi untuk perlumbaan di Renties Ypres Rally Belgium bagi memastikan persaingan untuk mengutip mata hingga ke titisan debu terakhir di antara pasukan Hyundai dan juga Toyota.
- Baiklah, kita kembali ke permulaan cerita. Chepot memaklumkan tentang penundaan Rally Shakedown KBS tapi masih tiada kata putus bilakah ianya boleh dilangsungkan. Kena tunggu dan mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa. Jadinya, kembali berdukalah dunia rali tempatan. Moga jumlah positif kes Covid 19 ini segera berkurangan dengan kadar segera.
BACA : WRC 2019 – DANI SORDO RANGKUL KEJUARAAN SAAT AKHIR DI RALLY ITALIA SARDEGNA