
WRC 2024 – AKHIRNYA THIERRY NEUVILLE MUNCUL JUARA WRC 20204!
Akhirnya yang ditunggu – tunggu muncul jua. Pemandu pasukan Hyundai Motorsport, Thierry Neuville berjaya muncul Juara sebagai FIA World Rally Championship (WRC) 2024 dalam perlumbaan yang cukup dramatik di perlumbaan terakhir musim ini, FORUM8 Rally Japan.
Keputusan tahta WRC itu berjaya diraih oleh Thierry Neuville yang berpasangan bersama Juruarah Martijn Wydaeghe setelah mendapat perkhabaran duka daripada rakan sepasukan yang juga pesaing rapat Ott Tanak apabila bekas juara WRC itu mengalami kemalangan dan terkeluar daripada saingan ketika pembukaan hari terakhir perlumbaan.

Pemandu Belgium berusia 36 tahun itu akhirnya berjaya menamatkan penantian yang cukup lama untuk bergelar Juara WRC akhirnya. Thierry Neuville sebelum ini pernah menjadi Naib Juara sebanyak lima kali (empat kali bersama pasukan Hyundai Motorsport pada tahun 2016, 2017, 2018 dan 2019) Untuk rekod, Thierry Neuville telah bersama pasukan Hyundai Motorsport semenjak dari awal penubuhan pada penghujung tahun 2013 sehinggalah sekarang. Ini adalah kemenangan pertama untuk Thierry Neuville dan juga Hyundai Motorsport setakat ini.

Drama untuk Thierry Neuville sebetulnya sudah pun bermula ketika awal perlumbaan pembukaan lagi apabila beliau mengalami masalah dengan sistem turbo yang mengakibatkan jentera Hyundai i20 N Rally1 sebu dan tidak berkuasa. Thierry Neuville kembali semula ke landasan memburu tahta pada perlumbaan hari Sabtu apabila berjaya menempatkan di tempat ketujuh keseluruhan.
Dan ternyata duka yang dialami Ott Tanak ketika beliau terbabit dengan kemalangan dan tidak berupaya untuk memulakan kembali perlumbaan sekali gus membolehkan Thierry Neuville menghabiskan perlumbaan tanpa sebarang tekanan. Akhir perlumbaan Thierry Neuville berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keenam keseluruhan.

Sementara itu, Elfyn Evans berjaya muncul sebagai pemenang untuk perlumbaan terakhir di Jepun sekali gus merampas pendahulu daripada Ott Tanak yang telah pun tersingkir.
Berada di podium kedua adalah lagenda Sebastian Ogier yang berjaya mempamerkan pemanduan yang handal dengan hanya ketinggalan 1.27.3 saat sahaja di belakang Elfyn Evans.

Hero lokal, Takamoto Katsuta turut berjaya memberikan persembahan yang baik dengan menduduki tempat keempat keseluruhan dan juga ketika di Power Wolf Stage untuk mengutip mata berharga sekali gus memberikan kutipan penting untuk membolehkan Toyota Gazoo sekali lagi Juara untuk kategori Pengeluar dengan perbezaan mata yang cukup tipis di hadapan pasukan Hyundai Motorsport.
Pemandu pasukan M-Sport Ford, Adrien Fourmaux sekali lagi berjaya menaiki podium ketiga musim ini dengan rakan sepasukan Gregoire Munster berjaya menempatkan diri ditempat kelima keseluruhan. Suatu penutup cerita yang baik untuk pasukan M-Sport Ford musim 2024 ini.
BACA : THIERRY NEUVILLE AKAN MEMBURU TAHTA WRC DI JEPUN
BACA : WRC 2024 – OTT TANAK MENANG DI CENTRAL EUROPEAN RALLY. HASRAT THIERY NEUVILLE TERTANGGUH LAGI