
WRC 2024 – KALLE ROVANPERA MENANG DI POLAND WALAU PUN HANYA SEBAGAI PEMANDU GANTIAN
Perlumbaan ketujuh dalam kalendar perlumbaan FIA World Rally Championship (WRC) yang berlangsung di ORLEN 80th Rally Poland akhirnya telah pun dimenangi oleh penyandang juara WRC, Kalle Rovanpera yang memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1.
Untuk rekod, sebetulnya Kalle Rovanpera yang hanya beraksi secara separuh masa pada musim ini tidak akan mengambil bahagian untuk perlumbaan di Poland. Asalnya tempat beliau akan diisi oleh lagenda Sebastian Ogier untuk beraksi. Namun malang menimpa buat pemandu lagenda dari Perancis tersebut apabila beliau terlibat dalam suatu kemalangan ketika meninjau dengan kereta biasa 48 jam sebelum beraksi di Poland ini.
Mujur juga tiada kecederaan serius membabitkan Sebastian Ogier dan Vincent Landais. Walau pun Juruarah beliau terlebih dahulu discaj daripada hospital namun Sebastian Ogier ditahan semalaman untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Dan Kalle Rovanpera tampaknya tidak mempunyai sebarang masalah langsung untuk menggantikan Sebastian Ogier walau pun hanya mempunyai tempoh yang cukup terhad untuk beraksi dan ternyata ianya cukup berbaloi buat beliau dan pasukan Toyota Gazoo Racing untuk terus mengutip mata penting.
Bertambah menarik apabila kemenangan ke 13 buat Kalle Rovanpera di ORLEN 80th Rally Poland ini turut diekori rapat oleh rakan sepasukan Elfyn Evans untuk menduduki podium kedua bagi membolehkan kemenangan 1 – 2 diraih oleh pasukan dari Jepun itu. Melengkapkan senarai podium adalah Adrien Fourmaux yang memandu jentera Ford Puma Rally1 dari pasukan M-Sport Ford.

Sementara itu, Martin Sesks yang membuat debut dalam kelas WRC1 dengan memandu jentera Ford Puma Rally1 Bukan Hibrid turut mencuri tumpuan sedari awal lagi apabila muncul sebagai kedua terpantas ketika membuka tirai perlumbaan pada hari Jumaat hanya ketinggalan beberapa saat di belakang Andreas Mikkelsen. Dan akhirnya pemandu muda Latvia itu berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan di belakang Thierry Neuville yang memandu jentera Hyundai i20 N Rally1.

Nasib malang menimpa Andreas Mikkelsen yang pada awalnya dilihat berjaya memberikan saingan rapat kepada Kalle Rovanpera ketika saingan hari Sabtu. Namun beliau terlanggar tebing yang mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian belakang jentera Hyundai i20 N Rally1 dan mengakibatkan beliau kehilangan masa berharga ketika saingan SS16.
BACA : WRC 2024 – KALLE ROVANPERA UNGGUL UNTUK MENDOMINASI SAFARI RALLY KENYA
BACA : WRC 2024 – OTT TANAK BERJAYA MERAMPAS KEMENANGAN DI RALLY ITALIA SARDEGNA