Motosikal

GP PERANCIS: MARTINATOR MENANG, MARC MARQUEZ PINTAS FRANCESCO BAGNAIA DI LAP AKHIR

Pelumba Pramac-Ducati, Jorge Martin, membuktikan dirinya sebagai pelumba Ducati utama di Le Mans selepas merekodkan kemenangan berganda pada Ahad. 

Martin yang turun selaku pemenang di perlumbaan Sprint pada Sabtu, sekali lagi berjaya mengutip mata penuh apabila mengungguli perlumbaan sebenar di litar Le Mans. 

Francesco Bagnaia bermula cemerlang berbanding aksi Sprint apabila terus berada didepan pada Turn 1. Walaupun berdepan tekanan awal dari Martin memasuki Turn 2 namun juara bertahan itu berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu.

Sementara itu,  Marc Marquez mengulangi prestasi pada Sabtu apabila berjaya naik lima kedudukan selepas bermula di petak ke-13. 

Ketika perebutan tempat ketiga, pelumba muda, Pedro Acosta kemalangan selepas jenteranya hilang cengkaman ketika cuba memintas Fabio Di Giannantonio. 

Tidak lama kemudian, giliran Marco Bezzecchi untuk bersara awal di Turn 5. 

Selepas itu, Marquez mula mengejar Maverick Vinales untuk kedudukan kelima sementara Martin dan Aleix Espargaro mengasak Bagnaia. 

Memasuki lap 10, Di Giannantonio berjaya memintas Espargaro untuk kedudukan ketiga sementara Marquez berjaya memintas Vinales pada 14 selepas pelumba Aprilia itu gagal mengekang asakan lapan kali juara dunia itu. 

Marquez kemudiannya mula mengejar kedudukan ketiga dan berjaya melepasi Di Giannantonio yang turut kehilangan kedudukan P4 kepada Vinales. 

Dalam pada itu, Martin berjaya memintas Bagnaia pada lap ke-21 di Turn 2. 

Walaupun ketika itu perebutan tempat pertama dan kedua hanya tertumpu pada Martin dan Bagnaia, Marquez berjaya merapatkan jurang dan mulakan asakan. Marquez kemudiannya berjaya memintas Bagnaia di lap terakhir untuk menaiki podium di tempat kedua sementara Bagnaia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. 

Google ads
Back to top button