Motosikal

RUPA SULUNG KOVE 450 R DIDEDAHKAN – ENJIN 4-SILINDER, 71HP

Kove sebenarnya bercadang untuk memperkenalkan motosikal ‘naked’ serba baharu menerusi Kove 450 R sekitar Mei tahun ini namun imej sulung motosikal itu telah pun tersebar lebih awal. 

Kove bakal melancarkan Kove 450 R di Beijing International Motorcycle Exhibition yang akan berlangsung dari 17 Mei ini. 

Tahun lalu, Kove 450 RR merupakan tumpuan utama di Beijing International Motorcycle Exhibition dan setahun kemudian, Kove menggunakan platform empat silinder 450cc itu pada versi naked menerusi 450 R. 

*Kove memperkenalkan 450 RR tahun lalu di Beijing International Motorcycle Exhibition 2023

Walaupun data teknikal belum didedahkan namun berdasarkan info dari 450 RR maka pastinya 450 R ini dikuasakan enjin 4-silinder 443cc DOHC dengan sistem penyejukan air yang berupaya menjana 71hp pada 13,000rp dan 39Nm pada 10,500rm. Enjin tersebut juga menawarkan nisbah mampatan 12.9:1. 

Pada masa sama, 450 R juga dijangka mengguna pakai kerangka sama dengan 450 RR termasuk swingarm jenis aluminium ringan, serta fork depan jenis USD (upside/down) dari Kayaba. 

Bagaimanapun, berdasarkan imej dikongsikan antara perubahan utama yang ditawarkan adalah penggunaan kaliper brek jenis axial berbanding radial pada 450 RR. Namun, kelihatan ABS ditawarkan secara standard. 

Antara ciri lain yang dijangka dibawa dari 450 RR termasuk tangki bahan api berkapasiti 14L, traction control, panel meter TFT dan fungsi ‘quickshifter’. 

Untuk rekod, motosikal Kove akan turut dipasarkan di Malaysia oleh AFY Mobility Industries (AMI) yang juga merupakan pengedar rasmi motosikal Suzuki di Malaysia. AMI juga telah mempamerkan Kove 450 RR ketika di MotoGP Malaysia yang berlangsung tahun lalu. 

Google ads
Back to top button