Artikel PilihanBuletin

YAMAHA BANGUNKAN MOTOR ELEKTRIK 469 HP – MASUK KAT ALZA MESTI NGAM NI

Yamaha walaupun sinonim dengan pembuatan motosikal sebenarnya mempunyai pengalaman yang sangat meluas dalam pembinaan enjin. Malah enjin talaan Yamaha turut digunakan model-model popular seperti model klasik Toyota 2000GT dan supercar moden Lexus LFA 4.8L V10.

Enjin-enjin dengan putaran tinggi bukan satu masalah buat Yamaha yang memang merupakan antara pengeluar motosikal paling popular dari Jepun. Tapi kali ini mereka mengumumkan satu produk baharu yang membuatkan ramai pihak termasuk kami menitiskan air liur di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Yamaha telah membangunkan satu unit motor elektrik baharu yang sangat berkuasa dan sesuai untuk digunakan oleh model EV hyper! Malah ia merupakan unit motor tunggal tapi dengan kuasa yang bersamaan dengan dua unit motor! Power betul tu.

Dikenali dengan nama Elektric Motor Prototype, unit motor-tunggal ini mempunyai keluaran kuasa maksima 469 hp dengan sejukan minyak. Kuasa ini bersamaan dengan kuasa yang dihasilkan oleh Porsche Taycan 4S cuma 4S menggunakan dua unit motor elektrik. Nampak tak betapa powernya motor ciptaan Yamaha ni.

Yamaha juga mendakwa mereka kini menjadi pendahulu dalam penghasilan motor elektrik. Motor ini juga mempunyai voltan operasi 800V yang hampir menyamai Porsche Taycan tapi dengan rekaan yang lebih kompak dengan gabungan komponen mekanikal dan elektrik dalam satu entiti.

Dengan kata lain gear dan inverternya digabungkan dalam satu unit. Tapi ini tidak bermakna Yamaha akan mengeluarkan kereta EV mereka sendiri. Mereka bagaimanapun sedia menerima tempahan dari mana-mana syarikat yang berminat untuk menggunakan motor elektrik keluaran mereka.

Kuasa maksima 469 hp masih belum muktamad kerana pembangunan enjin ini masih dalam proses tapi ia akan disesuaikan dengan kehendak pelanggan yang berminat. Malah sistem sejukan juga boleh diubahsuai berdasarkan minat dan kehendak pelanggan.

Motor hyper-EV ini akan dipamerkan di pameran Automotive Engineering Exposition 2021 Yokohama pada penghujung bulan Mei depan. Hai, nak pergi pun tak boleh. Nasib badan.

Google ads
Back to top button