
YAMAHA Y16ZR 2024 DILANCARKAN – DILENGKAPI ABS, TAMPIL AGRESIF, JANA 17.7HP, HARGA BERMULA RM11,398
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini secara rasmi melancarkan Yamaha Y16ZR 2024 untuk pasaran tempatan.
Y16ZR 2024 menerima sedikit perubahan pada bahagian perumah lampu hadapan dan panel hadapan di bahagian lampu siang (DRL) sekaligus memberikan rupa baharu yang lebih agresif serta sporty.

Dilengkapi dengan Sistem Brek Antikunci (ABS) baharu dan brek cakera yang lebih besar di hadapan, jentera itu menawarkan tahap kawalan baharu dan kuasa brek lebih baik.
Di bahagian belakang, ia masih dilengkapi brek cakera dengan angkup tunggal dan perincian lain termasuklah meter digital LCD, rim 17-inci, tangki bahan api 5.4 liter, soket pengecas 12V serta sistem kunci pintar.

Secara mekanikal, ia masih dijana oleh enjin 4-lejang, 4-injap, SOHC 155cc dengan penyejukan cecair yang canggih dan berkuasa dengan Penggerak Injap Pembolehubah (VVA).
Nadi berkenaan berupaya menghamburkan kuasa 17.7hp @9,500rpm, 14.4Nm tork @8,000rpm serta dipadankan kotak gear 6-kelajuan.

Ditawarkan dalam tiga warna; Violet Knight, Ocean Neon dan Mag Grey, ia boleh dimiliki pada harga bermula RM11,398 tidak termasuk insurans.
Setiap pembelian diberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000km dan pemilik akan menerima kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.
GALERI:




































