Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG SISTEM TRANSMISI 7G-DCT MERCEDES BENZ

Sistem transmisi “DCT 7-Speed” berkod 724 ini mula diperkenalkan oleh Mercedes Benz pada tahun 2012 dan dilengkapi pada model W176 A-Class. Pembangunan kotak gear ini dilakukan oleh pihak Mercedes Benz sendiri bersama dengan syarikat Getrag. Kemudian, sistem transmisi ini juga dipasang pada model B-Class, CLA-Class dan GLA-Class pada tahun 2013 dan 2014. Perkongsian sistem enjin dan transmisi ini boleh dibuat kerana keempat-empat model ini berkongsi platform pembangunan yang sama iaitu “Modular Front Architecture” atau MFA.

Namun hari ini kami ingin berkongsi serba sedikit tentang sistem transmisi 7G-DCT dari Mercedes Benz ini. Sistem transmisi ini sebenarnya diadaptasi daripada sistem transmisi AMG Speedshift DCT 7-Speed pada Mercedes Benz SLS AMG. Apa yang membezakan, kotak gear pada SLS AMG ini adalah kedudukannya yang menegak manakala apa yang ada pada jentera dibawah platform MFA adalah pada kedudukan melintang.

Dimensi kotak gear ini yang mempunyai ukuran sepanjang 367mm dan berat hanya 86kg menjadikan kotak gear ini merupakan kotak gear klac berkembar paling ringan di dalam kelasnya.

Operasi kotak gear ini menggunakan 2 unit “Oil Pump” dimana yang pertama bagi kotak gear klac berkembar. Satu pam digerakkan secara mekanikal dan satu pam lagi digerakkan secara elektrik. “Oil Pump” elektrik berfungsi untuk menstabilkan tekanan minyak di dalam kotak gear ketika enjin mati apabila fungsi “Start/Stop” diaktifkan.

Ini membolehkan kotak gear berfungsi dengan lancar apabila enjin hidup tanpa ada kelewatan. Sebagai perbandingan, kotak gear klac berkembar model lain mempunyai sedikit kelewatan di dalam respon apabila gear diaktifkan. Hal ini kerana ketika itu “Oil Pump” mekanikal sedang dalam proses untuk menghasilkan tekanan yang cukup.

Tambahan pula, “Oil Pump” elektrik juga berfungsi untuk membantu “Oil Pump” mekanikal ketika operasi kotak gear berada dalam keadaan maksimum. Ini membuatkan kotak gear mampu menyalurkan kuasa yang cukup dari enjin tanpa gagal waima tinggi mana pun daya kilasnya. Harus diingat, di dalam operasi kotak gear klac berkembar tekanan minyak yang cukup adalah kunci kepada kelancaran operasi.

Satu lagi ciri terbaru pada kotak gear ini adalah sistem “Parking Lock” yang digerakkan oleh tekanan hidraulik dan dikunci menggunakan sistem mekanikal. Ini bermaksud, tiada kabel diperlukan untuk meletakkan posisi gear pada “P”. Perkara ini membolehkan “Gear Selector Lever” boleh diletakkan dimana-mana kerana tekanan hidraulik boleh dijana hanya dengan menekan suis. Seperti yang kita lihat, “Gear Selector Lever” barisan model A, B, CLA dan GLA-Class terletak di belakang unit stering. Untuk meletakkan gear di posisi “P” pemandu hanya perlu menekan butang sahaja. Mudah bukan ?

Kotak gear 724 ini juga ditala dengan pelbagai mod antaranya :-

  • Economy
  • Sport
  • Manual

Bagi mod “Economy” dan “Sport”, operasi kotak gear ditala supaya berintegrasi dengan putaran enjin serta “Accelerator Pedal”. Mod “Economy” akan memberikan penukaran gear yang cepat pada RPM rendah bagi mengoptimumkan penggunaan bahanapi. Mod “Sport” pula memberikan penukaran gear pada RPM tinggi sesuai dengan keadaan pemanduan yang ekstrem.

Mod “Manual” pula memberikan kepada pemandu untuk menukar gear secara manual mengikut kehendak pemandu sama ada di RPM tinggi atau rendah. Penukaran gear boleh dibuat oleh pemandu dengan menggunakan unit “Paddle Shifter” yang terdapat pada belakang unit stering. Dengan adanya mod seperti ini, objektif untuk mendapatkan penggunaan bahanapi yang optimum serta pecutan yang dinamik dapat dihasilkan pada masa serentak.

𝐁𝐚𝐠𝐚𝐢𝐦𝐚𝐧𝐚 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝟒-𝐌𝐚𝐭𝐢𝐜 ?

Sistem 4-Matic merupakan sistem pacuan semua roda “On Demand” dari Mercedes Benz. Sistem ini akan memberikan nisbah daya kilas kepada tayar hadapan dan belakang mengikut kesesuaian. Ada model yang menerima sistem 4-Matic dan ada yang tidak. Boleh dirumuskan, sistem 4-Matic adalah sistem tambahan kepada jentera bagi membolehkan jentera itu mendapat lebih cengkaman ketika bergerak. Ia turut berintegrasi bersama dengan kotak gear klac berkembar ini.

𝐁𝐚𝐠𝐚𝐢𝐦𝐚𝐧𝐚 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 “𝟒𝟓 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬” ?

Barisan model “45 Series” seperti A45 AMG, CLA45 AMG dan GLA45 AMG masih menggunakan konfigurasi kotak gear yang sama. Namun terdapat sedikit pengubahsuaian daripada nisbah gear dimana nisbah kotak gear bagi “45 Series” ini lebih pendek. Seterusnya adalah talaan. Kotak gear “45 Series” ini ditala semula supaya dapat berintegrasi dengan sempurna bersama enjin yang lebih berkuasa. Satu lagi, kesemua barisan model “45 Series” turut dilengkapi dengan sistem 4-Matic.

Bagi model Facelift bermula tahun 2015 keatas, kotak gearnya mempunyai tambahan mod iaitu mod “Sport +” dan “Race”. Kedua-dua mod ini turut berintegrasi bersama sistem “Valvetronic Exhaust” dimana unit “Flap” pada ekzos akan terbuka dan membuatkan bunyi ekzos menjadi lebih kuat dan garang.

Kedua-dua mod ini turut membuatkan penukaran gear menjadi lebih cepat ketika pemanduan agresif. Bezanya, mod “Sport +” memberikan kawalan penukaran gear secara automatik dan mod “Race” pula memberikan kawalan penukaran gear secara manual.

Bagi barisan model “45 Series”, terdapat satu lagi fungsi iaitu “Race Start Control” dimana pemandu boleh mengaktifkan fungsi ini ketika mahu memecut dari keadaan pegun. Fungsi ini juga akan turut mengaktifkan fungsi “Launch Control” dimana fungsi ini mampu memberikan jentera lebih cengkaman ketika memecut.

Bila dilihat, fungsi yang ada pada kotak gear ini cukup kompleks dan memberikan pemandu pilihan sama ada mahu memandu secara santai ataupun agresif. Walaubagaimanapun cara pemanduan, kotak gear ini akan memberikan respon yang terbaik tanpa gagal.

Terima kasih kepada barisan jurutera Mercedes Benz kerana menghasilkan kotak gear yang hebat ini. Dimana kotak gear ini dihasilkan ? Ia dihasilkan di kilang milik Mercedes Benz di Stuttgart-Hedelfingen.

Dari segi ketahanan, sehingga sekarang masih belum ada apa-apa kritikan mahupun rungutan dari pengguna. Yang penting, jaga rutin servis. Jangan lalai.

Cerita pasal servis, kotak gear ini disarankan untuk diservis setiap 40,000km. Lagi awal, lagi bagus.

Berita baiknya, komponen servis kotak gear ini dikongsi bersama dengan semua model A-Class, CLA-Class dan GLA-Class. Bila berkongsi, kosnya juga sama. Sebagai contoh, kos untuk rutin servis kotak gear A250 adalah sama dengan A45 AMG !

Komponen-komponen yang perlu ditukar setiap kali rutin servis dilakukan adalah seperti dibawah :-

  • Mercedes Benz MB236.21 DCT Fluid
  • Mercedes Benz Transmission Filter
  • Mercedes Benz High Pressure Filter
  • Mercedes Benz Transmission Pan Gasket

Sekiranya anda pemilik salah satu daripada barisan jentera yang menggunakan kotak gear jenis ini, pastikan anda menggunakan komponen yang betul kerana kegagalan melakukan perkara ini mampu merosakkan kotak gear anda.

Lebih baik jika anda memberikan tanggungjawab menjaga sistem transmisi jentera anda kepada bengkel yang berpengalaman.

Google ads
Back to top button