Artikel Pilihan

10 PERMATA JDM YANG MESTI ANDA PANDU SEKALI SEUMUR HIDUP – NAK BELI RAMAI TAK MAMPU DAH

Model-model JDM yang best memang banyak. Harganya pun memang di luar jangkauan B40 macam kita ni. Tapi kalau ada peluang cubalah rasai sendiri pengalaman memandu kereta-kereta yang kami senaraikan ini sekali seumur hidup. Tak payah pandu ala Takumi tapi cukuplah sekadar merasai sendiri dinamik pemanduan kereta-kereta yang direka oleh jurutera di kemuncak era JDM satu ketika dahulu.

Ini dia senarai kereta JDM wajib pandu yang kami pilih sendiri. Ia mungkin sama dan mungkin juga sedikit berbeza dengan anda.

Nissan Skyline GT-R

Ini memang wajib ada la. Model paling ikonik dan diberi nama jolokan Godzilla memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya sudah terpahat kukuh di litar perlumbaan dan di layar perak menerusi filem-filem perlumbaan jalan seperti Fast & Furious peringkat awal.

Model yang kami cadangkan ialah GT-R R34 V-Spec II yang lebih raw dan jantan. Harganya pun sekarang melampau-lampau dan mengatasi harga GTR yang lebih moden. Kalau berpeluang sewa pergi sewa kalau tak, carilah kawan-kawan yang berduit. Jangan cari tokey kosmetik sebab model ni bukan untuk mereka.

Mazda RX-7

Ini satu lagi model yang menempa nama di layar perak, dunia perlumbaan dan dalam permainan video. Kalau nak beli memang kami nasihatkan supaya fikir banyak kali kecuali duit korang memang berkepuk dalam akaun.

Kos untuk membelanya memang cukup tinggi jadi kalau takut dilambung ombak, mandi je lah dekat bilik mandi. Kalau dapat bawak sekali memang boleh rasa sendiri la kenapa ia menjadi kegilaan kaki-kaki kereta.

Toyota Supra

Ini dah dikira sebagai king di kalangan JDM. Enjin berkuasa dengan konfigurasi RWD memang sesuai dengan jiwa pelumba. Sama seperti GT-R ia juga menempa populariti menerusi filem pertama F&F.

Dulu harganya kira berpatutan la dengan reputasinya. Sekarang, fuh jual buah pinggang bapa mertua pun belum tentu cukup nak beli sebuah. Ada peluang pandu baik tak yah dikir panjang-panjang.

Mitsubishi Lancer Evolution

Tak kisah lah Evo mana satu pun sebab korang kena cuba pandu baru tahu kenapa mereka berjaya merangkul kejuaraan WRC. Jangan ingat rupa parasnya yang sama dengan Proton Wira menjanjikan karektor dan pemanduan yang sama. Jauh tuan-tuan, jauh. Evo ni lebih tegap, laju, mantap seolah-oleh kembar tidak seiras bagi Proton Wira (kami rujuk kepada Evo I, II dan III).

Subaru Impreza

Sama seperti Evo, kena pandu sendiri baru dapat rasa keistimewaanya. Bagi kami keistimewaan Impreza berbanding Evo ialah pada enjin boxernya. Selain daripada itu ia juga kelihatan lebih sporty dan lincah. Tapi semua tu bergantung kepada pemandu. Kalau macam abang Alza pun jadi lincah.

Honda Civic Type R

Ringan, lincah dan menggunakan enjin VTEC yang ditala den-gam sempurna siap dengan LSD. Inilah senjata sulit Honda pada era 90 an. Ia memang akan mengujakan setiap pemandu yang berpeluang memandunya. Silap-silap seminggu tersengih sampai bini pun menyampah tengok.

Tapi hati-hati kalau member offer untuk cuba. Entah-entah Type R jadian. Muahahaha.

Nissan Silvia

Agak rare di Malaysia. Kalau jumpa kat mana-mana. Buat baik dengan pemilik dan mintak cuba pandu uji. Dulu Banyak Spec R untuk dijual, sekarang susah nak jumpa. Kereta ni memang popular di kalangan kaki dan harganya pun tak semahal abangnya, Nissan GT-R.

Toyota MR2

Sekarang dah jadi macam unikon sebab payah betul nak jumpa. Dengan konfigurasi mid engine pacuan roda belakang, ia memang menawarkan pengalaman memandu yang berbeza. Setup pun dah macam kereta lumba bang.

Mazda Miata

Kereta sports ringan buatan Jepun yang wajib ada. Tak masuk senarai nanti gaji kena potong maa. Menurut abang Japar ini baru kereta sport sebenar. 2 pintu 2 tempat duduk dan boleh buka bumbung. Kalau tak boleh buka bumbung itu dah macam anak lori 3 tan.

Honda NSX

Bukan NSX baharu tapi NSX generasi pertama yang membuktikan kebolehan Jepun dalam menghasilkan kereta sports eksotik. Versi idaman semestinya NSX-R yang lebih ringan daripada NSX standard dan telah diiktiraf sebagai salah satu masterpiece kejuteraan automotif Jepun dan cukup sesuai untuk menjadi model bangsawan JDM.

Nak lagi laju, carilah NSX Type S “Zero” yang lagi rare dari NSX-R dan kalau ada kawan-kawan yang pakai boleh hubungi kami. Boleh juga kami buat video untuk dikongsi dengan mereka yang senasib dengan kita (nak beli tak mampu).

Itulah 10 model JDM pilihan kami. Semestinya masih ada model-model lain tapi cubalah pandu 10 model ini kalau dapat cari. Kami jamin pengalaman yang ditawarkan adalah jauh berbeza dari Axia, Alza, Bezza, City, Vios dan segala jenis kereta yang ramai dari kita pandu setiap hari.

Google ads
Back to top button