2,500 UNIT PERODUA AXIA E HABIS DIJUAL DALAM MASA 48 JAM
Seperti dijangka, varian Axia paling murah iaitu E yang dilancarkan secara rasmi pada Jun lalu mendapat sambutan cukup hangat daripada pasaran. Buktinya, batch pertama sebanyak 2,500 unit habis dijual dalam masa 48 jam sahaja.
“Axia E yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dan stok sedia ada telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam satu kenyataan rasmi berkaitan prestasi jualan Perodua bagi separuh pertama tahun 2023.
Zainal memberitahu walaupun tempahan sedia ada amat menggalakkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.
“Walaupun begitu, kami masih teguh dengan sasaran kami. Kami juga berterima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas sokongan dan kesabaran mereka. Keutamaan kami adalah untuk terus mengurangkan masa menunggu para pelanggan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan.
“Kami juga berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3% kerana ini akan membantu mengurangkan kos pembiayaan para pelanggan yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya lagi.
Jentera tersebut menggunakan khidmat enjin 1.0 liter tiga silinder berkuasa 67hp dan tork 91Nm. Axia E bertransmisi lima kelajuan manual itu didatangkan dengan dua beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar untuk pemandu dan jaminan selama 5 tahun. Terdapat tiga pilihan warna iaitu putih, perak dan warna baharu kelabu.