Buletin

GEELY, HONDA, VW DAN LAND ROVER JALIN KERJASAMA DENGAN ALIBABA GROUP HOLDING DAN KERAJAAN. ATASI MASALAH ALAT GANTI TIRUAN DI CHINA

11 pembuat kereta utama akan berkumpul untuk menangani masalah berterusan alat ganti tiruan di China. Kerjasama itu turut melibatkan pihak berkuasa China dan Alibaba Group Holding.

Syarikat-syarikat akan berkongsi maklumat tentang pelanggaran tanda dagangan dan bersama-sama berusaha meningkatkan kesedaran serta membina hubungan dengan pihak berkuasa.

Bermula dengan Honda Motor, kerjasama tersebut semakin meluas apabila tiga lagi pengeluar turut menyertai gerakan ini. Ia termasuklah Volkswagen, Land Rover, serta Zhejiang Geely Holding Group China.

Kerjasama itu bermula pada 2021 oleh lapan pembuat kereta Jepun dan Barat apabila Honda Amerika Syarikat mendapati beg udara tiruan dijual pada platform e-dagang. Hasil maklumat pengeluaran pengedaran, penahanan berjaya dilakukan dengan menyaksikan rampasan kuantiti besar alat ganti palsu.

Usaha tersebut dilakukan secara strategik dengan penglibatan Alibaba yang mengendalikan sejumlah besar jualan dalam talian alat ganti kereta di China. Mereka juga merancang untuk bekerjasama lebih rapat dengan polis. Polis China akan menggunakan data daripada Alibaba mengenai transaksi melibatkan syarikat pemalsuan untuk menentukan nilai rampasan selain menetapkan denda sewajarnya.

Untuk meningkatkan kesedaran, pembuat kereta akan menggunakan perkhidmatan microblogging Weibo China dan bekerjasama dengan pasukan anti-pemalsuan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun.

Melihat pada data, Honda telah menemui lebih kurang 70,000 komponen tiruan di China pada 2021. Sebagai perbandingan, Honda mengesan komponen tiruan di China pada 2018 sebanyak 190,000. Antara barangan paling hangat di pasaran gelap di sana ialah pad brek.

Meskipun peratusan menunjukkan penurunan, tetapi ia akan berubah apabila syarikat pemalsu mencari cara lebih canggih untuk menyalahgunakan kelemahan eksport. Dari Januari hingga Julai 2022, Honda telah merampas lebih 65,000 alat ganti tiruan.

Statistik menunjukkan hampir 40 peratus pengguna membeli produk mengetahui bahawa ia adalah tiruan pada 2013, tetapi pada 2020, hanya 10 peratus pengguna mempunyai pengetahuan tentang produk tiruan. Menurut Honda, pembelian produk tiruan telah meningkat semula kepada hampir 20 peratus pada 2021.

Antara kesukaran dalam membanteras pemalsuan alat ganti ialah syarikat-syarikat pemalsu ini bijak dengan memasang produk akhir di destinasi eksport. Oleh itu, adalah sukar untuk menghentikan aktiviti haram di China.

Google ads
Back to top button