Buletin

CYBERVIEW DAN REISB TANDATANGANI MOU – BANGUNKAN EKOSISTEM MOBILITI PINTAR DI CYBERJAYA

Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Roda Emas Industries Sdn. Bhd. (REISB) untuk pembangunan Ekosistem Mobiliti Pintar di Cyberjaya. Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan GO TO-U EV Lifestyle Hub.

Dalam usaha menjadikan Cyberjaya sebagai hab teknologi global, penggunaan teknologi mobiliti pintar adalah penting dalam mengurangkan pelepasan karbon pada sistem pengangkutan, sekaligus menyumbang kepada Cyberjaya yang lebih lestari.

Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua syarikat akan memanfaatkan satu sama lain dari segi kekuatan, pengetahuan, rangkaian serta keupayaan dalam membangunkan ekosistem mobiliti pintar. Selain mengukuhkan lagi infrastruktur EV, penggunaan mobiliti elektro dan menambah baik pengurusan tenaga di Cyberjaya.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad berkata, “Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi bahagian penting dalam peralihan global kepada karbon rendah, dan mencapai sasaran pelepasan sifar GHG bersih menjelang 2050.”

Tambah beliau, usaha bersepadu telah dilaksanakan di mana kementerian dan agensi kerajaan memberi keutamaan kepada kepentingan dalam ekosistem mobiliti elektrik terutamanya dalam pelancaran infrastruktur pengecasan EV di seluruh negara.

Pada masa ini terdapat 17 stesen pengecasan di Cyberjaya yang memberi manfaat kepada lebih 500 pengguna EV. Antara kesan positif direkodkan setakat ini ialah terdapat pengurangan lebih daripada 54,000kg pelepasan karbon CO2.

Pengarah Urusan REISB, Izuan Hafiz berkata, “REISB berada di garisan hadapan untuk menggalakkan penggunaan EV dengan menyediakan Peralatan Bekalan EV yang selamat dan boleh dipercayai. Kami menyasarkan negara ini akan mempunyai 10,000 stesen pengecas awam di seluruh Malaysia menjelang 2025.”

Memandangkan kesedaran pengguna semakin meningkat tentang perlindungan alam sekitar, selain industri kenderaan elektrik di Malaysia semakin membangun, REISB dan GO TO-U yakin dengan potensi besar dalam pasaran kenderaan elektrik Malaysia.

Google ads
Back to top button