Buletin

TOYOTA HALANG JUALAN GRIL TIRUAN, RAMPAS STOK DAN MINTA BAYAR GANTI RUGI

Usah main-main dengan undang-undang hak cipta dan pemilikan. Ini yang dibuktikan Toyota Australia apabila berjaya menghentikan sebuah syarikat pembekal komponen badan kereta dan panel daripada mengimport, mengiklan dan menjual barangan tiruan.

Siasatan dan tindakan pantas oleh Toyota berjaya membuatkan sebuah syarikat menarik semula jualan gril tiruan, menawarkan pemulangan wang, merampas baki stok dan membayar ganti rugi kepada Toyota.

Menurut Pengurus Perlindungan Jenama Toyota Australia, Fabiola Dos Santos, pelanggan boleh diperdaya untuk mempercayai bahawa gril tersebut tulen terutamanya kerana mereka secara tidak sah memaparkan tanda perniagaan Toyota.

Fabiola Dos Santos turut memaklumkan syarikat itu tidak hanya memperdaya tetapi juga melanggar hak cipta melalui penggunaan imej milik Toyota yang tidak berlesen di laman webnya.

Kenapa isu ini penting walaupun ia sekadar gril? Berikut ialah penjelasan lanjut Fabiola Dos Santos:

  • Toyota telah membelanjakan sejumlah wang, teknikal dan sumber manusia yang besar bagi membangunkan komponen dan aksesori yang menawarkan prestasi optimum, ketahanan dan faedah keselamatan kepada pelanggan.
  • Gril Toyota telah direka dan diuji untuk membolehkan aliran udara yang mencukupi ke radiator dan melindungi enjin daripada terlalu panas.
  • Gril itu dikeluarkan mengikut kualiti Toyota yang ketat dan standard ketahanan. Ianya merupakan jaminan yang tidak boleh ditawarkan oleh penjual barangan tiruan.
  • Sesetengah orang tersilap berfikir bahawa membeli komponen palsu tidak berbahaya dan cara mudah untuk mendapatkan komponen dengan harga yang lebih rendah.
  • Impaknya jauh lebih buruk daripada yang disedari kerana komponen tersebut tidak melalui ujian, tiada peraturan undang-undang dan perlindungan yang sedikit kepada pengguna jika ia tidak berkesan atau selamat.

Fabiola Dos Santos turut memaklumkan Toyota sedang bekerjasama dengan Pasukan Sempadan Australia bagi mengenalpasti dan merampas alat ganti tiruan yang sekarang ini semakin banyak memasuki pasaran Australia.

Cara paling betul bagi mendapatkan barangan dan aksesori tulen ialah melalui pengedar Toyota yang sah.

Kredit foto: Toyota

Tags
Google ads
Back to top button