
VOLKSWAGEN GOLF R YANG BAWA LARI TANDAS EMAS DICARI
Pasukan polis United Kingdom dilapor sedang memburu pemandu yang memandu sebuah Volkswagen Golf R kerana disyaki terlibat dalam kes mencuri sebuah tandas diperbuat daripada emas.
Tandas yang direka oleh artis Maurizio Cattelan dan dikenali sebagai ‘America’ itu dianggarkan bernilai AS$6 juta (RM25 juta). Ia dipertontonkan kepada awam dalam satu pameran seni di Istana Blenheim dan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

Biarpun begitu, ‘America’ telah dilarikan oleh sekumpulan lima orang pencuri pada malam 14 September lalu. Tidak banyak perincian mengenai kecurian itu dilaporkan. Suspek dikatakan memecah masuk ke dalam istana dan mencabut tandas itu, manakala dia orang lagi menunggu di dalam kereta.
Mereka didakwa meninggalkan lokasi kejadian pada jam 4.50 pagi bersama tandas seberat 103kg di belakang sebuah Golf R berwarna biru. Kereta itu berjaya dirakam oleh sistem kamera litar tertutup (CCTV) bersama nombor plat palsu.
Salah sebuah kereta yang turut terlibat dalam kes itu sudah berjaya ditemui oleh polis dan dua orang suspek ditahan. Tandas emas dan baki tiga lagi orang suspek bagaimanapun masih bebas.

“Saya merayu sesiapa yang pernah melihat Golf R ini di sekitar kawasan Woodstock ketika insiden berlaku supaya tampil memberikan maklumat. Saya juga ingin meminta mereka yang mempunyai perakam di dalam kereta agar melihat rakaman video, kerana ia mungkn ada merakam sesuatu yang boleh membantu siasatan,” kata pegawai penyiasat, Detektif Steven Jones.
Penyedia insurans menawarkan ganjaran sebanyak AS$122,000 (RM511,000) kepada sesiapa yang berjaya mendapatkan kembali ‘America’ dalam kondisi tertentu.
Tandas itu sebenarnya boleh berfungsi seperti tanda biasa. Ia pernah dipamerkan di muzium Guggenheim di New York dan pengunjung boleh menggunakannya.
Malah, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pernah ditawar untuk menggunakannya sepanjang pentadbiran, tetapi dia menolaknya.