Buletin

THAILAND RAMPAS 29 KERETA MEWAH CURI DARI UK, NILAI LEBIH RM11 JUTA

Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand berjaya merampas 29 daripada 35 kereta mewah yang dilaporkan dicuri dari UK dan diseludup ke Bangkok, Thailand.

Rampasan itu susulan permintaan Agensi Jenayah Kebangsaan England untuk mengesan 35 kereta mewah bernilai lebih AS$2.5 juta (RM11 juta), dipercayai diimport secara haram ke Thailand sepanjang 2018-2019.

Timbalan Pengarah DSI, Payao Thongsen berkata, kereta mewah dihantar melalui udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa London Heathrow ke Singapura menggunakan dokumentasi palsu. Kereta-kereta itu kemudiannya dipindahkan ke Thailand dengan kapal.

Antara kenderaan yang diseludup ialah Lamborghini Huracan EVO Spyder, Ferrari, BMW M4, Mercedes-Benz AMG, Nissan GT-R, Porsche Cayenne, Land Rover Range Rover Sport, MINI Cooper, Ford Mustang, Lexus, Audi Q7, Volkswagen, dan Honda Civic Type R.

Terbaru, pegawai DSI turut merampas sebuah Porsche Cayenne pada 15 Februari di bilik pameran di Bangkok manakala pada 20 Februari, DSI merampas sebuah MINI Cooper dari sebuah kondominium di ibu negara.

Menurut DSI, kedua-dua jenama kenderaan, model, kenderaan dan nombor enjin sepadan dengan maklumat kereta yang dicuri di England.

Walau bagaimanapun, pemilik kedua-dua kereta itu tidak menyedari mereka telah membeli kereta curi dan sedia untuk menjadi saksi bagi menangani kes tersebut.

Daripada 35 kereta yang dicuri, DSI telah mengesan dan merampas 29 kereta secara keseluruhan. Pada Mac 2018, DSI merampas tujuh buah kereta dari bilik pameran Kereta Auto STT di daerah Huay Kwang di Bangkok.

Pada September tahun itu juga, DSI berjaya mengesan tujuh lagi kereta dan berjaya dirampas sejurus selepas dihantar dari England.

DSI berkata, baki enam kereta mewah yang dicuri masih dalam siasatan dan mereka akan mempercepatkan segala proses undang-undang untuk mengesan kenderaan lain serta mahu mendakwa semua pihak di sebalik dalang penyeludupan kereta curi.

Google ads
Back to top button