
ENJIN F1 HONDA TERBARU ADA KAITAN DENGAN ENJIN PESAWAT
Sebelum ini kami ada laporkan tentang kejayaan pasukan Aston Martin Red Bull Racing dengan unit kuasa Honda RA619H menjuarai perlumbaan Grand Prix Austria.
Apa yang manis dan mengharukan tentang kejayaan tersebut ialah ia muncul selepas kali terakhir menjadi juara di Grand Prix Hungary pada tahun 2006.
Ini kemenangan ke-73 Honda di dalam Formula Satu dan yang pertama di dalam era unit kuasa hibrid.
13 tahun tanpa kemenangan dengan episod keluar dan masuk ke dalam F1 adalah satu ketabahan dan semangat juang yang tinggi.
Namun apakah yang mendorong kemenangan tersebut?
Prestasi Max Verstappen sebelum perlumbaan lagi sudah menunjukkan prestasi positif apabila menduduki petak kedua dalam grid kelayakan.
Pada awal perlumbaan Max Verstappen jatuh ke tempat kelapan dan di sinilah perlumbaan sebenar bermula apabila beliau memintas satu-persatu kereta jagoaan seperti Mercedes-Benz dan Ferrari dan akhirnya berjaya memotong Charles Leclerc untuk meraih kemenangan.

Pada 25 Jun, laman web motorsport.com melaporkan bahawa kemaskini terbaru pada enjin Honda sebenarnya dipengaruhi oleh teknologi pesawat Honda.
Menurut laporan tersebut, kedua-dua jurutera sudah bekerjasama sejak dua tahun lalu lagi dan hasil utama dapat dilihat pada ketahanan enjin MGU-H spesifikasi ketiga yang diperkenalkan pada lewat tahun 2018.
Satu petikan menarik daripada Masashi Yamamoto, Pengarah Urusan Honda F1 kepada laman web tersebut ialah “Jika anda hanya bekerja untuk F1 biasanya fokus anda hanya dalam dunia ini”

Apa yang diberitahu oleh Masashi Yamamoto memang benar dan kerjasama dengan bahagian pesawat Honda memang tepat.
Fokus kerjasama tersebut ialah pada kawasan aerodinamik turbin.
Masalah dengan enjin V6 turbo-hibrid Honda ialah keupayaan untuk menjadikan operasi dua komponen iaitu MGU-H dan turbo dengan baik pada putaran enjin tinggi.
Keadaan tersebut mendatangkan risiko ketahanan dan ketidakcekapan itu juga menjejaskan prestasi keseluruhan enjin dan menghadkan kualiti pemulihan tenaga.
MGU-H atau motor generator unit, heat berfungsi menukar kepanasan daripada ekzos dan membekal tenaga elektrik sama ada kepada pengecas turbo atau disimpan untuk kegunaan kemudian.
Laman web tersebut memaklumkan bahawa pengaruh daripada enjin pesawat HF120 Honda ialah penukaran reka bentuk bilah turbin.
Menurut Toyoharu Tanabe, Pengarah Teknikal Honda F1, “Enjin pesawat memang sangat berbeza namun pengecas turbo dan MGU-H mempunyai ciri seperti turbin pesawat”
“Ia menggunakan putaran berkelajuan tinggi dan memerlukan reka bentuk aerodinamik pada turbin. Saya fikir terdapat persamaan teknologi di situ.”
Cadangan untuk bekerjasama dalam bahagian turbin ini dicetuskan oleh Yasuaki Asaki yang mengetuai operasi F1 Honda di Jepun di dalam satu mesyuarat bersama pengurusan kanan Honda.
Apa yang boleh dipelajari daripada kisah ini sangat menarik. Selepas berkali-kali mencuba dan gagal Honda telah menyusun semula organisasi, wujudkan kerjasama dengan dua jabatan berbeza untuk menukar cara berfikir dan menerima input baharu.
Ketiga ialah melihat semula kepada enjin dan jadikan ia lebih cekap.
Kecekapan sebenarnya adalah mantra atau budaya Jepun, tidak perlu laju pun sebab lebih cekap menyumbang kepada ketahanan dan akhirnya menghasilkan prestasi.
Mungkin inilah yang dicari-cari selepas bertahun-tahun gagal dan adakah musim depan masa untuk Honda bersinar?
Menarik apabila prestasi Honda dalam F1 dapat menyamai kecemerlangannya di dalam MotoGP.
- BACA: ENJIN HONDA AKHIRNYA JUARA PUSINGAN F1 SELEPAS 13 TAHUN KEMARAU
- BACA: SEGALANYA TENTANG UNICORN JEPUN – HONDA NSX!
- BACA: PADA 2003, HONDA ODYSSEY RB1 DIPERKENAL DI JEPUN
Sumber artikel: motorsport.com